Dunia

COVID-19 ditemukan dalam sampel bungkusan daging beku import

Hong Kong guna strategi dinamik sifar COVID-19 kekang wabak

HONG KONG, 20 Rejab 1443H, Selasa – Pihak berkuasa Hong Kong mendakwa, menemukan virus COVID-19 dalam sampel yang diambil daripada bungkusan makanan import membabitkan daging lembu beku dari Brazil dan kulit babi beku dari Poland.

Pusat Keselamatan Makanan (CFS) dilaporkan mengambil 36 sampel untuk ujian daripada kumpulan 1,100 karton daging beku seberat 29 tan yang diimport dari Brazil melalui laut.

Ujian itu mendapati satu pembungkusan luar dan dua sampel bungkusan dalam disahkan positif COVID-19.

Pusat terbabit turut mengumpul 12 sampel daripada kumpulan 300 karton kulit babi beku seberat sekitar tujuh tan yang diimport dari Poland melalui laut.

Hasilnya, satu bungkusan dalaman diuji positif COVID-19.

“CFS telah mengarahkan pengimport terbabit untuk melupuskan daging lembu dan kulit babi dalam kumpulan yang sama.

“Selain itu, CFS akan meningkatkan persampelan produk yang serupa untuk ujian,” kata kerajaan dalam satu kenyataan, lewat semalam.

Hab kewangan global itu menggunakan strategi ‘dinamik sifar COVID-19’ seperti China, bertujuan untuk menghapuskan penyebaran wabak di setiap peringkat.

Pihak berkuasa Hong Kong mengambil langkah waspada ekoran gelombang jangkitan baharu yang semakin sukar untuk dikawal.

Ini kerana, jumlah jangkitan harian telah meningkat secara mendadak tahun ini, sehingga mencecah rekod 7,533 kes pada Isnin, yang mengatasi kapasiti saringan, hospital dan kuarantin kerajaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button