Berita Utama

Kes Zahid: Gerakan tuntut penjelasan PM, Jabatan Peguam Negara

Tindakan ‘melepaskan’ Presiden UMNO calar kredibiliti sistem kehakiman

BANGI, 19 Safar 1445H, Selasa – Parti Gerakan menuntut kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jabatan Peguam Negara memberikan penjelasan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, Anwar perlu memberi penjelasan berikutan pernah berjanji kepada rakyat untuk tidak bertolak ansur dengan perasuah sebelum ini.

“Gerakan mengecam keputusan tersebut sekiranya terdapat campur tangan kerajaan dalam proses kehakiman dan melepaskan Ahmad Zahid daripada pertuduhan rasuah.

“Keputusan pihak pendakwaan dan kerajaan bukan sahaja mengkhianati kepercayaan rakyat, tetapi juga merupakan tingkah laku anti-demokratik dalam menyalahgunakan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, keputusan ‘melepaskan’ Zahid hanya akan menyebabkan kredibiliti sistem kehakiman negara akan tercalar.

Ini sekali gus menyebabkan rakyat tidak lagi menghormati dan mempercayai sistem berkenaan, katanya.

Dominic turut menegaskan, pihaknya akan bersama Perikatan Nasional (PN) bagi memantau perkembangan kes Ahmad Zahid demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan keadilan di negara ini.

Semalam, Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan oleh mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid selepas 77 hari dibicarakan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button