Berita Utama

Isu fail mahkamah: ‘Terpulang Zahid jika nak sumpah laknat’

Muhyiddin dakwa kenyataannya bukan direka demi politik

BANGI, 20 Rejab 1443H, Selasa – Kenyataan mengenai tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa fail kes mahkamahnya selepas beberapa hari Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan pada Mac 2020, bukan sesuatu yang sengaja direka kerana politik.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, apa yang dikatakannya sebelum ini adalah benar, bahkan beliau sendiri mempunyai bukti dan saksi.

Bagaimanapun, beliau berkata, Ahmad Zahid berhak untuk membuat sumpah laknat terhadap kenyataan itu dan meminta bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan bercakap benar.

“Saya ada bukti dan malam itu saya dah tunjukkan saksinya. Tetapi kalau dia nak sumpah, berapa kali nak bersumpah, sumpahlah, itu terpulang kepada dia.

“Saya tidak akan bersumpah kerana saya tidak pernah berbohong. Apa yang saya sebut itu adalah hak walaupun kadangkala yang hak itu adalah pahit didengar,” katanya seperti dilapor agensi berita tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Putrajaya.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin ketika berucap di Pentas PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh di Felda Tenggaroh 3, berkata Ahmad Zahid ada kerumahnya ketika beliau berbincang dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan membawa satu beg berisi dokumen kes mahkamah.

Beliau dilaporkan berkata, dalam kejadian beberapa hari selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid ada meminta tolong daripadanya kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid pada Ahad lalu, berkata beliau sanggup dan bersedia melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan Muhyiddin itu.

Ahmad Zahid mendakwa tidak pernah pergi berjumpa Muhyiddin sepanjang tempohnya menjadi Perdana Menteri atau membawa timbunan fail untuk meminta dilepaskan daripada tuduhan mahkamah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button