Kadar gaji minimum dalam proses semakan, kajian semula
Walau belum diputuskan, sudah ada majikan bayar gaji minimum

BANGI, 20 Rejab 1443H, Selasa – Kerajaan kini dalam proses membuat semakan dan kajian semula kadar bayaran gaji minimum, selaras dengan Akta Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ketika ini kadar gaji minimum di Malaysia adalah RM1,200 sebulan di kawasan majlis bandaraya dan majlis perbandaran, manakala bagi kawasan lain ia ditetapkan dengan kadar RM1,100, berkuat kuasa sejak 2020.
“Walaupun semakan kasar terhadap gaji minimum ini belum diputuskan dan dimuktamadkan kerajaan, terdapat majikan yang sudah mula membayar gaji minimum pada kadar RM1,500,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Saravanan dilaporkan berkata, kementeriannya optimis kadar baharu gaji minimum sekitar RM1,500 berjaya direalisasikan selepas mendapat persetujuan jemaah menteri menjelang hujung tahun ini.
Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada dua syarikat iaitu AEON Co (M) Bhd dan Wesports Holdings yang menawarkan gaji pada kadar RM1,500 kepada pekerja mereka.
Katanya, kedua-dua majikan itu menunjukkan contoh yang baik, di mana mereka prihatin dengan masalah pekerja walaupun berdepan keadaan ekonomi terkesan akibat pandemik COVID-19.
Justeru, beliau menyeru majikan lain supaya mencontohi pendekatan syarikat tersebut dan berusaha menawarkan gaji pekerja pada kadar yang melebihi gaji minimum sedia ada.
Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020 semasa pembentangan Bajet 2020 dengan jumlah kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan.
Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) menyatakan kadar gaji minimum perlu dibayar kepada pekerja dalam mana-mana kawasan majlis bandaraya atau majlis perbandaran adalah sebanyak RM1,200 sebulan, RM46.15 sehari (enam hari bekerja dalam seminggu), RM55.38 sehari (lima hari) dan RM69.23 sehari (empat hari), manakala bayaran setiap jam adalah RM5.77.