Berita Utama

Rakyat tagih komitmen parti komponen PN kekal bersatu

Sejak PRU-14 negara terumbang-ambing akibat permainan politik

BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyambut baik usaha semua pimpinan parti menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad berkata, pihaknya berharap dengan formaliti ini, kerajaan yang terbentuk sejak Mac lalu akan lebih stabil.

“MPM amat mengharapkan dengan pemuafakatan yang dicapai itu, yang mereka hasratkan dapat menstabilkan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, dapat direalisasikan.

“Sejujurnya MPM amat bimbang, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada hingga kini, Malaysia dianggap di antara negara paling kuat berpolitik di dunia. 

“Ia amat membimbangkan kerana senario itu cetus ketidakstabilan dalam banyak aspek kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selama ini NGO sekadar memerhatikan dan sekali-sekala menegur kerajaan akan agenda tadbir urus yang diamanahkan kepada mereka. 

Pun begitu, katanya, sejak kebelakangan ini, dek terlalu banyak berpolitik, agenda tadbir urus negara baik di sektor awam mahupun korporat, amat terjejas dan terumbang-ambing. 

“Kini, semakin banyak NGO di kalangan kami kian lantang bersuara berperanan sebagai kuasa ketiga, perjuangkan kepentingan rakyat jelata.

“Justeru, sekali lagi kami suarakan sokongan kepada hasrat murni semua parti yang komited bermuafakat membentuk dan menyokong pembentukan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah badan gabungan parti-parti politik yang mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

“Selamat maju jaya kepada Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin, sebagai Perdana Menteri Kelapan,” katanya.

Ketua parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengadakan satu pertemuan di Putrajaya dan menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin.

Dalam catatan di laman Facebook Muhyiddin Yassin, ia turut memaklumkan kesemua pimpinan parti bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Menurut catatan itu, pimpinan yang hadir ialah presiden parti termasuk Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Umno); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS); Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (MCA) dan Tan Sri S. A Vigneswaran (MIC).

Selain itu, pertemuan tersebut turut disertai Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (PBB); Prof Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (SUPP); Datuk Seri Tiong King Sing (PDP); Tan Sri Dr James Jemut Masing (PRS); Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (PBS); Tan Sri Joseph Kurup (PBRS) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR).

Menurut catatan itu lagi, mesyuarat dua jam itu turut dihadiri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Whip Kerajaan Perikatan Nasional dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung Bersatu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button