Berita UtamaDunia

Penerbangan khas misi bantuan kemanusiaan Malaysia berlepas Afghanistan

Dengan kerjasama pelbagai sektor swasta

KUALA LUMPUR, 20 Rejab 1443H, Selasa – Penerbangan khas membawa lima tan bantuan kemanusiaan Malaysia terdiri pelbagai bentuk keperluan asas berlepas ke Kabul, Afghanistan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang susulan krisis kemanusiaan yang melanda negara itu.

Misi itu dilaksanakan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) dengan kerjasama sektor swasta, Golden Horses Digital Investment Bank dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Peace Mission dan Buddha’s Light International Association (BLIA).

Menurut kenyataan Wisma Putra, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut hadir di lapangan terbang berkenaan untuk menghantar misi kemanusiaan terdiri 12 sukarelawan yang dijadual berlepas kira-kira 10 pagi.

“Penerbangan khas itu akan singgah di Hyderabad, India dan Islamabad, Pakistan sebelum meneruskan penerbangan ke Kabul.

“Bantuan kemanusiaan seberat lima tan itu merangkumi pakaian musim sejuk, jaket, selimut dan susu tepung serta keperluan asas lain, akan dihantar kepada rakyat dan kanak -kanak Afghanistan yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.

GPM akan mengedarkan bantuan tersebut dengan kerjasama NGO tempatan Afghanistan iaitu Ehsas Welfare & Social Service Organisation (EWSSO), Humanitarian Assistance Society (HAS), Afghan Welfare Society (AWS) dan Just for Afghan Capacity and Knowledge (JACK).

“Bantuan kemanusiaan ini merupakan sumbangan rakyat Malaysia yang diharap dapat meringankan penderitaan rakyat Afghanistan semasa musim sejuk sekarang,” tambah kenyataan itu.

Taliban, yang digulingkan pada 2001 oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, menawan semula Afghanistan pada Ogos 2021, selepas pengunduran tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) susulan perjanjian 2020.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia belum membuat keputusan untuk mengiktiraf kerajaan Taliban dan mengambil pendekatan berhati-hati.

Dalam kenyataan itu Wisma Putra turut menjelaskan bahawa NGO Malaysia sentiasa aktif dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat baik di dalam atau luar negara.

NGO seperti GPM, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Muslim Care Malaysia (MCM), MERCY Malaysia dan Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) telah menjalankan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan.

“Terkini adalah BLIA dan akan diikuti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk menghulurkan bantuan kepada Afghanistan.

“Pusat Penyelidikan Polisi Ekonomi (CEPR) Malaysia turut bersedia menghulurkan bantuan, terutamanya dalam penubuhan sistem perbankan dan kewangan Islam berdasarkan perundangan Syariah,” jelas kenyataan itu.

Pihak swasta, korporat dan institusi di Malaysia bersedia untuk menawarkan kepakaran dan pengetahuan mereka dalam membantu membina dan membangun semula Afghanistan, antaranya dalam pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, perlombongan sumber mineral, telekomunikasi dan tenaga baharu.

“Atas semangat Keluarga Malaysia, misi bantuan kemanusiaan ini memperlihatkan solidariti rakyat Malaysia dengan rakyat Afghanistan bertepatan dengan budaya prihatin masyarakat majmuk Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan agama berganding bahu bekerjasama membantu rakyat Afghanistan yang dilanda kesengsaraan.

“Malaysia akan meneruskan usaha libat urus membina di samping pembangunan modal insan kepada rakyat Afghanistan,” tambah kenyataan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button