Dunia

Risiko kematian, gejala serius akibat Omicron rendah dari Delta

94 peratus kematian COVID-19 babit individu umur 60 tahun ke atas

SEOUL, 20 Rejab 1443H, Selasa – Individu yang dijangkiti varian Omicron hampir 75 peratus kurang risiko untuk mengalami gejala serius atau kematian berbanding varian Delta, menurut laporan pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan.

Satu Kajian Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) terhadap 67,200 kes jangkitan yang disahkan sejak Disember menunjukkan gejala serius dan kematian akibat Omicron masing-masing pada purata 0.38 peratus dan 0.18 peratus, berbanding 1.4 peratus serta 0.7 peratus bagi kes Delta.

KDCA mengklasifikasikan kes yang teruk sebagai pesakit yang dimasukkan ke hospital dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Kira-kira 56 peratus daripada 1,073 orang meninggal dunia sejak lima minggu lalu, membabitkan kes yang tidak divaksinasi atau hanya menerima satu dos vaksin.

Kajian itu menunjukkan bahawa individu berumur 60 tahun dan ke atas menyumbang 94 peratus daripada kadar kematian.

Lebih 86 peratus daripada 52 juta penduduk Korea Selatan telah diberi dua dos suntikan dan hampir 60 peratus juga sudah menerima dos penggalak.

Korea Selatan telah mengekalkan kes dan kematian yang rendah ekoran langkah-langkah penjarakan sosial yang meluas serta ujian saringan dan pengesanan yang agresif.

Varian Omicron telah membawa kepada lonjakan kes – dengan jangkitan baharu mencecah 100,000 minggu lalu – namun pihak berkuasa telah melonggarkan arahan penjarakan sosial di tengah kadar kematian yang rendah dan menjelang pilihan raya presiden bulan depan. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button