Berita Utama

Mana peranan Ahli Parlimen Islam dalam perjuangan anak Loh: Wanita BERJASA

Adakah ini 'Keluarga Malaysia' yang dicanang PM?

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 21 Rejab 1443H, Rabu – Wanita BERJASA mempersoalkan di mana peranan Ahli-ahli Parlimen Islam dalam perjuangan isu anak-anak mualaf Loh Siew Hong.

Membidas sikap berdiam diri para pemimpin, Ketua Wanita BERJASA, Ustazah Siti Umi Kalsom Hussin berkata, situasi tersebut membimbangkan dan tidak wajar dibiarkan memandangkan ia merupakan isu akidah yang merupakan sebahagian daripada maqasid syarak.

“Kalau sekali pun tidak tahu makna maqasid syarak, cukup ada iman dan rasa mahu mempertahankan aqidah rakyat.

“Tetapi sangat mendukacitakan isu akidah ini dipandang sepi oleh pemimpin-pemimpin Islam di negara kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan apa perjuangan sebenar Ahli-ahli Parlimen Islam apabila melibatkan diri dalam dunia politik sekiranya isu melibatkan akidah tidak diperjuangkan selain dianggap sesuatu yang remeh.

“Sepatutnya menjadi pertimbangan utama kepada rakyat untuk memilih pemimpin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

Pada masa sama, Ustazah Siti Umi Kalsom juga mempersoalkan sama ada keputusan kepada isu tiga anak Loh ini juga merupakan ‘citra Keluarga Malaysia’ seperti yang dicanangkan Perdana Menteri.

“Kalau inilah rupa paras ‘Keluarga Malaysia’ bagaimanakah penghujungnya?

“Adakah kita akan mencipta sejarah sebagai penghancur kepada benteng-benteng yang telah dibina oleh nenek moyang kita yang mereka pertahankan dengan darah dan air mata,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat ‘membersihkan’ pemimpin-pemimpin yang tidak menjaga akidah rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bulan depan.

Isu anak remaja Loh Siew Hong menjadi tular apabila mendakwa anaknya dilarikan ketika dia menerima rawatan selepas dicederakan dan didera bekas suaminya, Nagahswaran pada 2019.

Nagahswaran, dikatakan menukar agama tiga kanak-kanak itu kepada Islam tanpa kebenarannya.

Bagaimanapun, Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga orang kanak-kanak yang telah diislamkan tanpa kebenaran dikembalikan kepada ibu kandungnya serta merta.

Ketika ini, ketiga-tiga anaknya iaitu pasangan kembar berusia 14 tahun dan seorang lelaki berusia 10 tahun diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Agama Islam Perlis walaupun sebelum ini wanita itu telah mendapat hak penjagaan penuh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button