Berita Utama

Individu tak divaksin berisiko dapat COVID-19 tahap serius

Penggunaan katil ICU di 4 negeri melebihi 50 peratus setakat semalam

KUALA LUMPUR, 21 Rejab 1443H, Rabu – Kumpulan individu yang tidak divaksin tanpa mengira usia merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti COVID-19 kategori empat dan lima serta berdepan dengan kematian akibat jangkitan virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan itu dapat dilihat menerusi data Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kes COVID-19 kategori empat dan lima serta data kematian akibat pandemik itu bagi setiap 100,000 populasi dalam tempoh 26 Januari hingga 22 Februari.

“Ini dapat dilihat pada carta KKM dan hampir semua kumpulan umur,” katanya dalam kenyataan yang turut memuatkan carta yang menunjukkan kes COVID-19 kategori empat dan lima serta kematian bagi setiap 100,000 penduduk adalah lebih tinggi dalam kalangan individu yang tidak divaksin sepanjang tempoh berkenaan.  

Menurut Dr Noor Hisham, kumpulan individu yang telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19 adalah yang paling terlindung daripada pandemik tersebut. 

“Dapat dilihat jumlah kes yang lebih rendah dijangkiti COVID-19 yang serius (kategori tiga, empat dan lima) dan juga kematian dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan yang lengkap divaksinasi tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya,

Beliau berkata, vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius COVID-19. 

Mengenai peratus penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) COVID-19 di hospital Dr Noor Hisham berkata, empat negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu Kelantan dengan 78 peratus, diikuti Johor (69 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus) dan Melaka (54 peratus).

Merujuk kes positif COVID-19 yang dicatatkan semalam, beliau berkata 27,179 kes direkodkan dengan 99.37 peratus atau 27,007 kes merupakan kes kategori satu dan dua manakala hanya 172 kes atau 0.63 peratus merupakan kes dalam kategori tiga, empat dan lima.

Sebanyak 19,037 kes sembuh COVID-19 dicatatkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini menghampiri tiga juta kes iaitu 2,974,441 kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button