Berita Utama

Kartel polis: Hamid Bador kecewa hasil siasatan EAIC

Bekas KPN dakwa ikhlas beri keterangan, tiada pembohongan

BANGI, 21 Rejab 1443H, Rabu – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador terkilan dan kecewa terhadap hasil siasatan yang diumumkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung dakwaan kewujudan kartel dalam pasukan polis.

Malah, beliau menyifatkan laporan hasil penemuan sistem dalam pasukan polis seperti yang diumumkan semalam adalah tidak tepat.

Katanya, Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sendiri tidak biasa dengan ‘sistem’ polis.

“Di atas kertas, ia menunjukkan proses pelantikan, pertukaran dan kenaikan pangkat pegawai dan anggota polis adalah telus dan sukar untuk sebenarnya terdapat unsur-unsur yang tidak baik mengganggu proses berkenaan,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Abdul Hamid berkata, bagi pihaknya, beliau telah memberikan kenyataan sepenuhnya mengenai perkara itu.

“Saya telah memberikan keterangan yang seikhlas-ikhlasnya, tiada pembohongan dan niat saya adalah suci murni demi menjaga keutuhan negara, berani kerana benar,” katanya.

Semalam, Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, suruhanjaya berkenaan tidak dapat menentukan bahawa terdapat ‘kartel’ dalam pasukan polis seperti yang didakwa Abdul Hamid sebelum bersara.

“Berdasarkan keterangan saksi dan dokumen yang diperoleh EAIC, kami tidak dapat mengesahkan wujudnya kartel dalam pasukan polis seperti yang didakwa.

“Siasatan EAIC mendapati terdapat pegawai terbabit dalam kegiatan sindiket jenayah susulan siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

EAIC telah memuktamadkan siasatan terhadap isu yang dibangkitkan Abdul Hamid pada 18 Mac dan 22 Mac tahun lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button