Berita Utama

Kerajaan digesa failkan rayuan kekal pengharaman buku ‘Gay is Okay!’

Penerbitan buku gambar Malaysia negara Islam tak bermoral

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 21 Rejab 1443H, Rabu – Kerajaan digesa memfailkan rayuan untuk mengekalkan pengharaman buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’, berikutan penerbitan itu jelas menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam tidak bermoral.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan penulis dan penerbit buku berkenaan untuk membatalkan perintah pengharaman Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Hakim Datuk Noorin Badaruddin ketika membaca keputusannya dilaporkan berkata, kandungan buku itu tidak membuktikan fakta atau asas undang-undang yang menyebabkan KDN mengharamkannya.

Jelasnya, KDN ketika itu telah mengeluarkan arahan pengharaman mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan alasan kandungannya memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam.

Bagaimanapun, Noorin berkata, setelah meneliti keseluruhan buku itu, kandungan berkaitan homoseksual buku hanya daripada sudut perspektif agama Kristian.

Tiada niat untuk menghina keputusan mahkamah itu, namun Naib Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Izzat Johari berkata, perundangan negara wajib berpaksikan agama Islam walaupun buku berkenaan adalah untuk bacaan penganut agama Kristian.

“Jika buku ini berjaya diedarkan dalam Malaysia, sekali gus akan berjayalah golongan ini melebarkan pengaruh mereka dan akhirnya akan mengundang mudarat kepada peradaban manusia terutama di Malaysia sebagai negara Islam.

“Tidak pasti dengan pendirian Kerajaan Malaysia tetapi kita harap Kerajaan Malaysia akan memfailkan rayuan semula kepada mahkamah untuk mengekalkan pengharaman buku ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KDN sebelum ini mengeluarkan perintah pengharaman pada 27 November 2020 terhadap buku yang ditulis Ngeo Boon Lin dan penerbitnya, Chong Ton Sin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh tujuh tahun sejak buku itu diterbitkan, ia masih dianggap sebagai promosi homoseksual yang masih boleh menjejaskan umum.

Mengulas lanjut, Izzat berkata, kesan kepada penerbitan buku berkenaan dibimbangi akan mempengaruhi minda pembeli.

“Secara tegas, jangan biarkan Malaysia menjadi bebas seperti Barat yang rosak akidah dan moral. Masalah akan berlaku pada generasi akan datang, bukannya sekarang.

“Kepada anda semua, tolong sebarkan isu ini kerana mudaratnya kepada masyarakat kita. Golongan kayangan tidak ambil peduli pun!,” katanya.

Pautan terdahulu;

Tajuk buku ‘Gay Is Okay! terang-terangan promosi LGBT

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button