Dunia

Israel bunuh 55 rakyat Palestin di Tebing Barat

527 premis diroboh punca 733 terpaksa berpindah

GENEVA, 20 Muharram 1443H, Ahad – Sejumlah 55 rakyat Palestin dibunuh tentera pengganas Israel di Tebing Barat tahun ini, di mana kebanyakannya maut akibat ditembak peluru hidup, menurut laporan Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

Laporan itu mendedahkan, sebanyak 221 rakyat Palestin di wilayah itu juga cedera angkara serangan pasukan pengganas Israel.

Malah, sebanyak 527 struktur milik Palestin di Kawasan C di Tebing Barat dimusnahkan pasukan rejim pada tahun 2021, sehingga mengakibatkan 733 penduduk berpindah secara paksa, kata laporan.

Di bawah Perjanjian Oslo 1995 antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin, Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dibahagikan kepada tiga bahagian – Kawasan A, B dan C.

Israel menghalang penduduk Palestin menjalankan sebarang projek pembinaan di bahagian Tebing Barat yang ditetapkan sebagai Kawasan C, kerana berada di bawah kawalan pentadbiran dan keselamatan rejim.

Setakat ini, Kawasan C adalah rumah bagi 300,000 penduduk Palestin, di mana sebahagian besarnya adalah penternak yang tinggal di khemah, karavan dan gua.

Undang-undang antarabangsa menyifatkan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai wilayah yang dijajah dan menganggap semua aktiviti pembinaan penempatan Yahudi di sana adalah tidak sah.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button