Berita Utama

Usah diharap pemimpin parti politik, mereka tak pernah fikir soal agama dan bangsa

‘Musuh Islam akan terus berusaha hancurkan agama ini satu persatu’

BANGI, 21 Rejab 1443H, Rabu – “Apa yang berlaku hari ini bukan baru dan bukan yang terakhir. Musuh Islam akan terus berusaha menghancurkan agama ini satu persatu.”

Demikian kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya meluahkan kebimbangannya dalam isu anak-anak Loh Siew Hong.

Kegusaran ini bukan semata-mata menumpukan kepada isu hak penjagaan tetapi terdapat usaha daripada pelbagai pihak yang tidak berkaitan, yang mahu menukar agama anak-anak mualaf ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diserahkan dengan segera kepada ibu mereka selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.

Namun, kebimbangan muncul apabila wujud desakan agar agama ketiga-tiga anak itu ditukarkan.

Bahkan, Loh sebelum ini dilaporkan akan mencabar penukaran agama secara sebelah pihak tiga anaknya melalui semakan kehakiman.

Mengulas perkara itu, Aminuddin berkata, tekanan dari luar dan dalam semakin kuat dan membimbangkan.

“Usah diharap pemimpin parti politik kerana mereka tidak pernah memikirkan soal agama dan bangsa.

“Kitalah rakyat marhaen yang terpaksa bangkit dan menggalas tugas yang berat ini.

“Namun kita takkan mengeluh apatah lagi mengalah. Jauh sekali dari rasa kecewa kerana kita tahu Allah bersama kita,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan perjuangan yang dilakukan pihaknya bukan mencari pujian dan penghargaan manusia sebaliknya atas dasar kesedaran tanggungjawab kepada Allah.

“Berbekalkan keyakinan bahawa kebenaran itu milik Allah, kita bergerak walau rintangan semakin mencabar.

“Sunnah perjuangan tidak ditaburi dengan permaidani tapi darah dan air mata,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button