Berita Utama

BERJASA sokong Kelab Shah Alam Selangor sekat jual alkohol

Kempen 'Malaysia Sejahtera Tanpa Arak' menampakkan hasil

BANGI, 22 Rejab 1443H, Khamis – BERJASA menyatakan sokongan terhadap usaha Kelab Shah Alam Selangor melarang penjualan dan pengambilan alkohol di dalam premisnya.

Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan berkata, usaha tersebut wajar disokong ekoran Shah Alam terkenal dengan identiti dan budaya Melayu Islam.

“Menyekat jualan arak adalah sesuatu yang mulia dan perlu untuk membentuk semula budaya Islam dan masyarakat yang aman tanpa arak.

“Saya YDP BERJASA Shah Alam mengajak seluruh umat Islam di negeri Selangor khususnya di Shah Alam untuk menyokong dan menyambut baik keputusan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau melihat kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ yang digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sebelum ini sudah mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Khususnya komuniti majoriti Islam untuk memulakan langkah-langkah strategik menyekat jualan arak dalam komuniti.

“Umum mengetahui bahawa status arak adalah minuman yang memabukkan serta memberi mudarat dan ketagihan,” katanya.

Bahkan, tegas Ustaz Fahmi, arak juga boleh menjadi ancaman kepada keselamatan orang lain.

Justeru, beliau berharap, inisiatif baik yang diambil oleh Kelab Shah Alam Selangor tidak dijadikan sebagai bahan senda gurau politik yang merugikan.

Semalam, media melaporkan Kelab Shah Alam Selangor melarang penjualan dan pengambilan alkohol dalam premisnya.

Peraturan baharu oleh jawatankuasa am itu berkuat kuasa 12 Februari lalu.

Malah, ahli dan tetamu juga dilarang membawa alkohol ke premis itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button