Berita Utama

Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak sasar 1 juta tandatangan

Petisyen dilanjut beberapa bulan lagi sebelum diserah ke kementerian

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 22 Rejab 1443H, Khamis – Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak akan dilanjutkan beberapa bulan lagi untuk mencapai sasaran sejuta tandatangan pada petisyennya.

Ketika ini, petisyen yang dilancarkan di platform change.org itu sudah mencapai lebih 13,000 tandatangan daripada rakyat Malaysia yang prihatin.

Pengarah kempen, Ustaz Abdullah Hussen berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengumpul 12,770 tandatangan dalam talian serta 1,000 tandatangan petisyen secara fizikal.

“Kami bercadang untuk melanjutkan kempen ini beberapa bulan lagi hingga mencapai sejuta tandatangan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata, petisyen itu akan diserahkan kepada kementerian berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain itu, katanya, di peringkat negeri, petisyen sokongan masyarakat setempat dan surat bantahan akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagi merancakkan lagi kempen ini, Ustaz Abdullah berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan serta mendapatkan sokongan daripada NGO-NGO Islam dan badan-badan yang lain untuk menjayakan kempen ini.

Terdahulu, kempen ini membuat tuntutan dalam empat perkara, iaitu pertama, menuntut kerajaan agar menetapkan polisi komuniti bebas arak supaya tiada lagi program yang menghidangkan arak secara terbuka dan umum.

Kedua, menuntut PBT agar menguat kuasa dan memperkemas undang-undang berkaitan arak serta memperketatkan lagi syarat-syarat membeli dan menjual arak.

Ketiga, menuntut PBT agar tidak membenarkan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka di kawasan majoriti muslim.

Manakala terakhir sekali, mereka menuntut pihak berkuasa agar membuat pemeriksaan dan pemantauan yang lebih ketat ke atas pemandu-pemandu mabuk terutamanya di waktu malam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button