Pendapat

Kenapa Russia serang Ukraine?

Ukraine berpaling daripada Russia, berusaha sertai NATO dan EU

1. JAWAPAN pendeknya ialah Russia marah kerana Ukraine berpaling daripada kem Russia dan berusaha untuk menyertai NATO (kem Amerika Syarikat) dan Kesatuan Eropah (EU)

2. Ibarat marah anak sindir menantu, Russia sebenarnya amat mengecam tindakan Amerika Syarikat yang melanggar janji pada tahun 1990 untuk tidak meluaskan kuasa NATO ke arah timur berhampiran sempadan Russia.

3. Hari ini semua bekas jajahan Soviet Union (kini Russia) telah menyertai NATO kecuali Belarus dan Ukraine (dalam proses permohonan). Ini menjadikan buffer zone bagi Russia mempertahankan tanahnya amat terhad.

4. Dari segi sejarah, Ukraine yang merupakan sebahagian jajahan Soviet Union mempunyai ikatan budaya dan sosial yang intim dengan Russia sejak lama dulu. Ia diberikan kemerdekaan pada tahun 1994.

5. Namun hubungan mereka mula renggang apabila Russia menawan Crimea, yang merupakan sebahagian wilayah Ukraine pada tahun 2014 sebagai reaksi terhadap penggulingan Presiden Ukraine yang mesra Russia (faktor sebenar ialah untuk terus menguasai pelabuhan Sevastopol secara total)

6. Walaupun selepas itu perjanjian damai Minsk telah dimeterai, konflik antara kedua negara ini tetap tidak berkesudahan.

7. Sehingga hari ini sebahagian negara Ukraine berdekatan sempadan Russia, Luhansk dan Donetsk masih dikuasai pihak pemberontak yang ditaja kerajaan Russia.

8. Russia mempunyai 2.9 juta tentera (berbanding 1.1 juta milik Ukraine), 1,511 pesawat pejuang (berbanding 98 milik Ukraine) dan 12,240 kereta kebal (berbanding 2,596 milik Ukraine)

9. Kehebatan tentera Russia diiktiraf sebagai kedua terkuat di dunia dengan perbelanjaan tentera ke-4 tertinggi di dunia. Secara teknikalnya, Russia mampu menawan keseluruhan Ukraine jika NATO dan tentera EU berdiam diri.

10. Namun untuk mempertahankan Ukraine, Amerika dan EU juga perlu berhati-hati kerana Russia merupakan ekonomi keenam terbesar dunia (berdasarkan nilai PPP), pengeksport minyak kedua terbesar dunia, antara pengeksport gas utama dunia serta pemilik senjata nuklear terbesar dunia.

11. Sebarang tindak balas ketenteraan atau ekonomi dari Russia bakal memberikan impak kepada seluruh dunia sebagaimana yang telah mula kita lihat hari ini, iaitu kenaikan mendadak harga minyak mentah dan emas.

12. Geopolitik dunia hari ini mungkin telah lama beralih dari penguasaan kuasa unipolar kepada multipolar, namun konflik di Ukraine yang sedang berlaku kini menyebabkan kita tertanya-tanya, “Negara manakah yang berani melawan Russia, selain Amerika Syarikat?”

Ir Ts Lukman Al Hakim
Setiausaha Agung BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button