Berita Utama

Malaysia teliti bantu komuniti Melayu Islam Champa

Khusus dalam bidang pendidikan dan peluang kerja

PHNOM PENH, 22 Rejab 1443H, Khamis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan kepada komuniti Melayu Islam Champa di Kemboja dalam bidang pendidikan dan peluang pekerjaan akan dibincang lanjut dengan kerajaan negara itu.

Beliau berkata antara bidang yang dikenal pasti termasuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dapat mewujudkan tenaga berkemahiran tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu Champa di negara Asean itu, yang dianggar seramai 800,000 orang.

“Untuk Datuk Othsman (Othsman Hassan, Menteri Kanan Jabatan Perdana Menteri Kemboja), kita akan tengok apa yang boleh kita bantu dari segi pendidikan. Difahamkan ramai belajar di Kuala Lumpur,” katanya sempena majlis makan malam bersama Keluarga Malaysia di Kemboja, malam tadi.

Perdana menteri tiba di Kemboja semalam untuk lawatan rasmi dua hari bagi mengukuhkan hubungan dua hala yang terjalin selama 65 tahun selain daripada perdagangan dan peluang pelaburan serta pergerakan rakyat antara kedua-dua negara.

Sejurus ketibaaan, beliau telah menerima kunjungan hormat Othsman, yang turut hadir di majlis tersebut. Othsman juga merupakan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal masyarakat Islam di Kemboja.

Selain itu, Ismail Sabri berkata peluang pekerjaan untuk orang Melayu Champa juga boleh diteliti memandangkan Malaysia mempunyai dua juta tenaga pekerja asing berdaftar.

“Mungkin kita boleh lihat apa kita boleh tawarkan kepada masyarakat Melayu Islam Champa dari Kemboja untuk menjadi tenaga kerja di Malaysia. Insya-Allah masyarakat Melayu di Malaysia akan terus membantu masyarakat Melayu Islam Champa di Kemboja,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button