Berita Utama

Pinda Perlembagaan, beri kuasa Mahkamah Syariah buat semakan kehakiman

'Pilihan terbaik sekarang adalah pindalah Perlembagaan'

KUALA LUMPUR, 22 Rejab 1443H, Khamis – Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah jalan terbaik untuk memberi kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah Negeri menjalankan semakan kehakiman berhubung keputusan oleh Majlis Agama Islam Negeri, kata pakar perlembagaan Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes SIS Forum (Malaysia) tidak secara jelas menyatakan bahawa kuasa semakan kehakiman itu terletak kepada Mahkamah Persekutuan.

Katanya beliau berpandangan sekiranya sesuatu perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah maka Mahkamah Syariah hendaklah mempunyai kuasa kehakiman dan kuasa untuk menyemak.

“Pilihan terbaik sekarang adalah pindalah Perlembagaan (berhubung perkara) itu,” katanya dalam Program Wacana Muzium Diraja yang berlangsung secara dalam talian semalam.

Pada 21 Feb lepas, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang membenarkan Mahkamah Syariah Negeri mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah kerana DUN Selangor tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Seksyen 66A menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah Enakmen ini.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan SIS Forum (Malaysia) selaku pempetisyen untuk mencabar peruntukan enakmen berkenaan.

Sementara itu, artikel beliau dalam akhbar Berita Harian semalam bertajuk ‘Pinda Perlembagaan beri kuasa penuh semak kehakiman Mahkamah Syariah,’ Shamrahayu berkata kesan keputusan Mahkamah Persekutuan ialah sebarang tindakan Majlis Agama Islam atau jawatankuasa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam adalah tertakluk kepada mahkamah di peringkat Persekutuan (mahkamah sivil).

Beliau berkata mungkin ada dalam kalangan khalayak mahukan Mahkamah Syariah memiliki bidang kuasa membuat semakan kehakiman ke atas apa jua perkara membabitkan hal ehwal Islam atau agensi Islam negeri, maka kehendak ini tidak dapat dipenuhi dengan pendirian tafsiran yang dibuat dalam keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

“Justeru bagi membolehkan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa semakan kehakiman, maka DUN hendaklah diberikan atau dijamin sepenuhnya bidang kuasa membuat undang-undang itu melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Shamrahayu juga berkata pindaan itu hendaklah dengan jelas menyebut DUN mempunyai bidang kuasa untuk membuat undang-undang berkaitan semua perkara dalam hal ehwal Islam termasuk membuat peruntukan mengenai semakan kehakiman secara eksklusif ke atas semua perkara terletak hak di bawah kuasa negeri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button