Dunia

Putin umum operasi ketenteraan khas di timur Ukraine

Matlamat operasi demi melindungi rakyat yang dianiayai

MOSCOW, 22 Rejab 1443H, Khamis – Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine.

Dalam ucapannya menerusi televisyen, Putin berkata penduduk Donbas meminta bantuan Rusia, lapor Agensi Anadolu memetik agensi berita TASS.

“Sehubungan itu…saya memutuskan untuk melaksanakan operasi ketenteraan khas,” katanya.

Putin berkata, matlamat operasi itu “demi melindungi rakyat yang dianiayai serta daripada pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Kyiv selama lapan tahun”.

Susulan pengumuman Putin, beberapa siri letupan kuat dilapor menggegarkan ibu negara Ukraine, Kyiv dan bandar Kramatorsk.

Pejabat Presiden (Kremlin) pada Rabu memaklumkan, pemimpin puak pemisah di timur Ukraine sebelum ini telah meminta bantuan Putin untuk menyekat pencerobohan tentera Ukraine.

Putin pada Isnin mengumumkan Moscow mengiktiraf “kemerdekaan” dua wilayah di timur Ukraine iaitu Luhansk dan Donetsk, termasuk menghantar pasukan untuk “mengekalkan keamanan” di sana.

Pengumuman itu mendapat kecaman global serta disifatkan melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

Negara-negara Barat turut mengumumkan sekatan baharu ke atas Rusia berikutan kejadian itu.

Selepas menyerang Semenanjung Crimea pada 2014, Moscow mula menyokong puak pemisah di timur Ukraine menentang kerajaan pusat, satu dasar yang dikekalkan sejak itu.

Konflik itu telah meragut lebih 13,000 nyawa, menurut PBB. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button