Pendapat

Tiada ruang dalam mana-mana mazhab serah anak pada ibu bukan Islam

Umat Islam perlu bersatu menegaskan pendirian syarak ini

1. MENYAMBUNG kembali isu tiga adik-beradik muslim yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi untuk diserahkan hak jagaan kepada ibunya, Puan Loh. Satu noktah yang ingin saya kongsikan, saya petik semula di sini beberapa noktah perkongsian saya di dalam kuliah Maghrib di Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota malam semalam.

2. Salah satu kekeliruan di dalam isu ini adalah hal berkenaan hak penjagaan anak bagi suami isteri yang bercerai, adakah kepada ibunya atau kepada bapanya? Juga bagaimana jika salah seorang dari keduanya tidak beragama Islam?

3. Hukum hak penjagaan anak (hadhanah) adalah satu topik yang dibincangkan secara panjang lebar di dalam kitab-kitab Fiqh. Mudah jika kedua-dua ibu bapa itu Islam dan tidak ada isu dari segi kemampuan menjaga … agak mudah untuk diputuskan kerana syarak di dalam isu ini sudah amat jelas. Bagi yang belum mumayyiz, maka hak penjagaan adalah kepada ibu. Bagi yang sudah mumayyiz, anak-anak itu boleh memilih antara ibu atau bapanya. Bagi yang sudah baligh, anak-anak itu berhak menentukan sama ada nak duduk di bawah jagaan salah seorang ibu bapanya atau tinggal sendiri. Ada sebahagian ulama membezakan antara anak lelaki dan perempuan bagi yang sudah mumayyiz atau baligh; anak perempuan menurut mereka mesti di bawah jagaan ayah kerana ayah adalah wali bagi pernikahannya. Begitulah lebih kurang rangka kasar bagaimana ulama membahaskan topik ini.

4. Masalah akan menjadi sedikit rumit jika kedua-dua ibu bapa ada isu dari segi kemampuan menjaga anak-anak itu. Ini perlukan kepada perincian dan biasanya akan diputuskan oleh mahkamah berdasarkan neraca syarak. Neraca syarak sudah tentunya berbeza dengan neraca mahkamah kita sekarang dan berbeza juga dengan neraca sebahagian anggota masyarakat dari kalangan bukan Islam.

5. Dalam masalah tiga adik-beradik tersebut, timbul pandangan yang mengatakan bahawa si ibu lebih berhak kerana kasih sayang ibu adalah penting bagi tumbesaran anak. Pandangan ini datang sekali dengan dakwaan bahawa kasih ibu tersebut lebih penting dari masa depan agama anak-anak itu. Pandangan ini betul dari satu sudut tetapi salah dari sudut yang lain.

6. Secara ringkas, tumbesaran anak yang paling penting adalah perkembangan pembangunan agamanya. Ini mudah sangat difahami oleh kita orang Islam. Apa erti kalau seseorang itu pandai, cerdik, sihat, cukup kasih sayang tapi tidak membangun iltizam agamanya? Jika ada orang yang mengatakan sebaliknya, susah saya nak ulas lanjut. Dari situ sudah tentulah dalam apa juga keadaan, tiga adik-beradik tersebut mesti dipastikan membesar terus sebagai orang Islam. Inilah neraca syarak nombor satu di dalam menentukan hak penjagaan bila suami isteri bercerai.

7. Mazhab Syafie dan mazhab Hanbali tidak berkompromi di dalam masalah ini. Bagi kedua-dua mazhab ini, jika ibu bukan Islam, maka hak penjagaan itu secara automatik terbatal. Mereka berpegang kepada kaedah:

لا ولاية للكافر على المسلم

“Tidak boleh orang kafir itu menguasai orang Islam.”

Ibu yang bukan Islam tadi sudah tentu akan menentukan sama ada anak-anak itu menutup aurat atau tidak, boleh berpuasa atau tidak, boleh ke sekolah Kafa atau tidak, boleh solat atau tidak, tidak akan makan khinzir dan sebagainya. Itulah maksud ‘menguasai’ di dalam hak penjagaan ini. Dari situ kedua-dua mazhab ini dari awal terus menghalang ibu yang bukan Islam daripada mendapat hak penjagaan anak-anaknya.

8. Bagi yang berhujah kasih sayang ibu itu penting, mungkin mereka mengambil hujah dari mazhab Maliki atau mazhab Hanafi. Kedua-dua mazhab ini membenarkan ibu yang bukan Islam memelihara anak-anaknya yang beragama Islam. Atas dasar kasih sayang ibu yang penting untuk tumbesaran anak-anak, mereka membenarkannya.

9. Tetapi adakah mazhab Maliki dan Hanafi tidak kisah tentang masa depan agama anak-anak?

Sebenarnya kedua-dua mazhab ini meletakkan tumbesaran anak-anak dalam agama Islam sebagai unsur yang terpenting juga. Cuma mereka menyusunnya dalam bentuk yang berbeza dari mazhab Syafie dan Hanbali.

10. Cuba lihat apa yang ditulis di dalam Mausuah Fiqhiyah berkenaan pandangan kedua-dua mazhab ini:

قال الحنفية : ما لم يعقل المحضون الدين ، أو يخشى أن يألف الكفر فإنه حينئذ ينزع منها ويضم إلى أناس من المسلمين ، لكن عند المالكية إن خيف عليه فلا ينزع منها ، وإنما تضم الحاضنة لجيران مسلمين ليكونوا رقباء عليها

“Berkata ulamak di dalam mazhab Hanafi: (boleh dipelihara oleh ibu yang bukan Islam) selama mana anak itu tidak mengerti agama atau dibimbangi akan terbiasa dengan kekufuran. Jika berlaku begitu, ketika itu hendaklah anak itu dipisahkan dari ibu bukan Islam itu dan diserahkan kepada sekumpulan manusia muslim.

Manakala di sisi ulama Maliki, jika dibimbangi (anak itu terbiasa dengan kekufuran), anak itu tidak dipisahkan dari ibunya yang bukan Islam tetapi ibu tersebut diletakkan di bawah pengawasan jiran-jirannya yang muslim.”

11. Jika kita memahami perincian setiap mazhab tersebut, dengan mudah kita akan simpulkan bahawa di dalam kes adik-beradik tersebut, tidak ada ruang di dalam mana-mana mazhab untuk menyerahkan anak itu kepada ibunya yang bukan Islam. Niat si ibu dan pihak yang berada di belakang ibu tersebut untuk menukar status agama anak-anak itu adalah amat jelas sekali dan amat konsisten.

12. Umat Islam perlu bersatu menegaskan pendirian syarak ini. Jangan sesekali berlonggar hingga akhirnya memberikan sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada golongan yang cuba untuk mengeluarkan tiga adik-beradik tersebut dari Islam.

قَالَ رَبِّ بِمَا أَنْعَمْتَ عَلَيَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِّلْمُجْرِمِينَ

“Ia merayu lagi: “Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah / zalim”. (Al-Qasas: 17)

Wallahul Musta’an

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button