Berita Utama

Wan Junaidi yakin RUU Anti Lompat parti diluluskan

7,000 respons telah dianalisis berkenaan RUU ini

KUALA LUMPUR, 22 Rejab 1443H, Khamis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang bakal dibawa ke Dewan Rakyat kelak akan diluluskan berdasarkan respons yang diterima menerusi sesi libat urus diadakan.

Katanya sesi itu yang diadakan bersama ramai pihak berkepentingan termasuk Ahli-Ahli Parlimen, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin parti telah mendapat 7,000 respons untuk dianalisis.

“Secara keseluruhan dan prinsipnya, ramai bersetuju. Jadi hanya tinggal satu persoalan iaitu apabila perlembagaan hendak dipinda, ia berkehendakkan dua pertiga undi atau sokongan di Dewan Rakyat iaitu sebanyak 148 sokongan daripada 220 jumlah ahli dewan (Ahli Parlimen) sekarang.

“Kalau dapat 148 undi atau lebih, barulah undang-undang ini boleh diluluskan tetapi dalam jangkaan saya setelah melihat pandangan banyak pihak, saya yakin… (RUU diluluskan),” katanya yang ditemui sebelum memulakan perbincangan mengenai ‘Memperkasa Demokrasi Malaysia’ dalam Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.

Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berkata beberapa cadangan pindaan perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini termasuk RUU berkaitan Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Ia selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu RUU berkenaan disegerakan selepas kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH pada 13 September 2021.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata RUU Anti Lompat Parti itu digubal bukan untuk menghalang proses demokrasi dalam kalangan ahli politik sebaliknya untuk mengelakkan kemudaratan pada negara khususnya dari sudut ekonomi.

“Sebenarnya dalam demokrasi itu sendiri, walau di mana-mana pun mesti ada parameter dia sendiri atau ada skop dia sendiri. Jadi untuk menyeramakkan demokrasi, mesti ada peraturan dan undang-undang kerana kadang-kadang sikap manusia ini hendak bebas tanpa ada rintangan,” katanya.

Sementara itu, pada program tersebut, Wan Junaidi menegaskan RUU itu bersifat universal dan bukan untuk menegakkan pendirian individu tetapi lebih kepada parti kerana akan mendorong ahli parti menjadi berdisiplin.

Dalam program itu, beliau turut menyentuh tentang RUU Pembiayaan Dana Politik yang kini sudah siap kajiannya namun belum dibentangkan lagi kepada Jemaah Menteri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button