Berita Utama

1MDB dakwa Jho Low pengarah bayangan syarikatnya

Beliau proksi Najib dalam beri arahan kepada lembaga pengarah 1MDB

KUALA LUMPUR, 23 Rejab 1443H, Jumaat – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendakwa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah pengarah bayangan dalam syarikat pelaburan strategik itu kerana beliau proksi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memberi arahan kepada lembaga pengarah dan pengurusan kanan 1MDB.

1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif menyatakan demikian menerusi jawapan kepada pernyataan pembelaan Jho Low, yang difailkan Tetuan Skrine di Mahkamah Tinggi di sini, pada 23 Feb lepas.

1MDB mendakwa Jho Low mempunyai kewajipan fidusiari terhadap plaintif-plaintif dan pada setiap masa material merupakan pemegang amanah kepada aset-aset kesemua plaintif.

“Pembelaan yang didakwa oleh defendan pertama (Jho Low) bahawa dia tidak pernah mengaku liabiliti dalam prosiding yang difailkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, kesemuanya adalah tidak relevan,” dakwa 1MDB dalam pernyataan jawapan itu.

1MDB mendakwa Jho Low telah mendapatkan proksi-proksinya untuk bekerja dalam 1MDB termasuk bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil.

“Proksi-proksi tersebut memegang jawatan pengurusan kanan utama dalam plaintif pertama (1MDB) antara lainnya untuk memantau pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB, melaksanakan keputusan penting menurut kehendak Jho Low dan Najib bagi memudahkan penggunaan dana plaintif-plaintif dengan niat penipuan Jho Low dan Najib,” dakwa 1MDB dan menambah Najib juga pengarah bayangan 1MDB.

Menurut 1MDB, Jho Low telah menerima dana milik plaintif-plaintif yang mana beliau mengetahui bahawa dana tersebut milik kesemua plaintif dan wang tersebut telah dipindahkan kepadanya secara pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari.

“Tindakan (saman) terhadap Jho Low antaranya untuk pemulihan wang amanah kepunyaan kesemua plaintif yang telah diterima Jho Low yang beliau mengetahui bahawa wang tersebut telah dipindahkan kepadanya secara pecah amanah antara lainnya oleh Najib.

“Oleh itu, defendan pertama (Jho Low) juga adalah pemegang amanah konstruktif plaintif-plaintif berkenaan dengan wang yang diterima olehnya,” kata 1MDB.

Selain itu, 1MDB mendakwa setelah dimaklumkan tentang Memorandum Ernst & Young bertarikh 26 Mac 2010, Najib, ketika itu sebagai pihak pemegang saham tunggal 1MDB, Menteri Kewangan (Diperbadankan) bersama dengan penglibatan Jho Low, mengarahkan penyingkiran Ernst & Young sebagai juruaudit bagi 1MDB melalui surat bertarikh 16 Ogos 2020.

Menurut 1MDB, tindakan itu untuk menyembunyikan kerugian syarikat itu akibat pelesapan dana secara penipuan dan menghalang siasatan serta penemuan fakta-fakta dan bukti material berkenaan dengan penipuan tersebut.

“Selain daripada US$700 juta yang telah diterima oleh Jho Low pada 2009, semua wang telah dibayar kepada Jho Low selepas Mac 2010, oleh itu, ia adalah tidak dapat diterima bahawa kausa-kausa tindakan hanya terakru pada Mac 2010 seperti yang didakwa.

“Dalam apa jua keadaan, tuntutan plaintif-plaintif adalah termasuk pecah amanah secara penipuan oleh Jho Low dan untuk mendapatkan semula daripadanya harta yang dipegang secara pecah amanah bagi pihak plaintif-plaintif yang telah ditukarkan untuk kegunaannya sendiri,” menurut 1MDB,

Pada 7 Mei tahun lepas, 1MDB dan empat anak syarikatnya, memfailkan saman terhadap Jho Low, ayah dan ibunya Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut US$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing US$41 juta, US$397 juta, US$608 juta dan US$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta US$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut US$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta US$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut US$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta US$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain US$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

Jho Low dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, beliau tidak mempunyai sebarang jawatan atau kewajipan fidusiari dalam 1MDB serta empat anak syarikatnya dan saman itu harus ditolak kerana gagal menyatakan kausa tindakan yang munasabah berhubung dakwaan pecah amanah atau kewajipan fidusiari.

Dakwa Jho Low, beliau tidak pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam 1MDB atau keempat-empat anak syarikatnya, dan juga bukan ahli lembaga penasihat dana kekayaan negara itu atau sebahagian daripada pasukan pengurusan kelima-lima plaintif. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button