Berita Utama

Mohon ahli politik bersuara tentang isu akidah 3 remaja mualaf

Solidariti tidak berakhir meskipun mahkamah sudah beri keputusan

BANGI, 23 Rejab 1443H, Jumaat – Walaupun Mahkamah Tinggi telah memutuskan secara Habeas Corpus anak-anak Loh Siew Hong diserahkan hak penjagaan kepadanya, tetapi ia tidak bermakna solidariti bersama mereka sudah berakhir.

Ketua Pemudi BERJASA, Nor Azliza Raijiain berkata, buat masa ini kebimbangan umat Islam mengenai perjalananan akidah anak-anak tersebut adalah relevan kerana wujud berita-berita yang tidak sedap didengari.

Beliau berharap Ahli Parlimen Islam yang dipilih untuk mewakili bersuara rakyat supaya bangkit bagi menyatakan kebimbangan ummah pada ketika ini.

“Pemudi BERJASA menyelar ahli-ahli politik yang begitu lantang menjadi jurucakap bagi puak-puak yang membuat provokasi melampau dan naratif palsu serta anak-anak itu dimurtadkan.

“(Di mana Ahli Parlimen Islam) kenapa hanya membisu dan membiarkan sahaja di saat agama dicabar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nor Azliza juga berharap ahli politik Islam dapat menggerakkan sokongan terhadap Ustazah Nazirah Nantha Kumari Abdullah yang kini diserang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Ambillah peranan dan ikut rapat perkembangan akidah anak-anak mualaf tersebut, politikus janganlah menikus,” katanya.

Isu anak mualaf ini menjadi tular apabila ibunya mendakwa, mereka dilarikan ketika dia menerima rawatan selepas dicederakan dan didera bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy pada 2019.

Ketika ini, ketiga-tiga anaknya iaitu pasangan kembar berusia 14 tahun dan seorang lelaki berusia 10 tahun diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Agama Islam Perlis walaupun sebelum ini wanita itu telah mendapat hak penjagaan penuh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button