Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Gempa bumi 6.1 Richter landa Sumatera

Gegaran turut dirasai di bahagian barat Semenanjung Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Rejab 1443H, Jumaat – Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda utara Sumatera, Indonesia pada pukul 9.39 pagi tadi.

MetMalaysia menerusi ciapan di Twitter memaklumkan gegaran tersebut turut dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia. Gegaran dirasai di bahagian Barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya dalam kenyataan.

Gempa di 76 kilometer barat laut Payakumbuh itu turut mengakibatkan gegaran dirasai di bahagian barat Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan pengalaman wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), gegaran dapat dirasai kurang lima saat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Paudzi berkata gegaran dipercayai dirasai seluruh ibu negara berdasarkan aduan oleh petugas bomba sendiri.

“Namun, setakat ini, belum ada lagi sebarang laporan kecemasan yang diterima berhubung kejadian ini. 

“Bagaimanapun, pihak bomba sentiasa bersiap sedia dalam segala apa jua kemungkinan.  Kejadian ini juga akan disemak pihak bomba melalui Met Malaysia,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian Bernama, ramai pengguna media sosial menyatakan dapat merasai gegaran yang berlaku.

Rata-rata melahirkan rasa cemas dan bimbang tatkala khuatir akan kejadian yang boleh meragut nyawa itu.

Sementara itu, Ketua Pengarang Bernama, Khairdzir Md Yunus berkata, semua kakitangan pertubuhan ini telah diarahkan turun dari tingkat masing-masing sebagai langkah keselamatan.

“Ini merupakan prosedur operasi standard (SOP) jika ada bencana berlaku dan keselamatan kakitangan menjadi keutamaan selain gempa bumi mungkin boleh berlaku kecemasan lain.

“Seperti dapat dilihat semua kakitangan telah diminta berkumpul di perkarangan parkir di pertubuhan ini,” katanya di pekarangan Bernama, di sini.

Beliau berkata, pihaknya akan turut meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk membuat pemeriksaan bangunan untuk memastikan ia tidak terjejas akibat gegaran itu.

Di Putrajaya, gegaran turut dirasai di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dan warga kerja di beberapa kementerian telah diarahkan mengosongkan bangunan.

Antara kementerian yang terlibat adalah di Presint 4 seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Setia Perdana yang dahulunya dikenali sebagai Kompleks B dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Petugas-petugas kementerian diminta berkumpul di kawasan lapang berhampiran kementerian masing-masing.

Seorang warga Jabatan Perdana Menteri di Kompleks B berkata mereka telah dibenarkan memasuki premis kira-kira 10.25 pagi setelah keadaan disahkan terkawal.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button