Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDunia

Konflik Russia-Ukraine makin tegang, korban cecah 137

Zelenskyy arah kerahan tentera tentang Russia selama 90 hari

KYIV, 23 Rejab 1443H, Jumaat – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengarahkan kerahan tentera sepenuhnya bagi menentang Russia.

Menerusi dekri yang dikeluarkan pada Khamis, Zelenskyy berkata, arahan itu berkuat kuasa selama 90 hari.

Dia turut menugaskan pasukan tentera untuk menentukan bilangan anggota terbabit dan pasukan simpanan.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 137 orang awam dan tentera dilaporkan terkorban akibat serangan Russia.

Dalam video yang dikeluarkan awal hari ini, Zelenskyy menyifatkan semua mangsa terkorban sebagai ‘wira’, selain turut memaklumkan ratusan lagi orang awam cedera.

Katanya, walaupun Russia mendakwa hanya menyasarkan pasukan tentera, namun dakwaan itu tidak benar apabila orang awam turut menjadi mangsa.

“Mereka membunuh ramai orang yang tidak berdosa dan menjadikan bandar aman sebagai sasaran, dan kami tidak akan maafkan tindakan ini,” katanya.

Zelenskyy menjelaskan, semua pengawal di Pulau Zmiinyi di wilayah Odesa juga terbunuh dan mendakwa kepulauan tersebut telah ditawan Russia.

Terdahulu Russia melancarkan serangan di timur Eropah menyebabkan beberapa bandar diserang melalui udara ketika orang awam berpusu-pusu memasuki kereta api dan kenderaan masing-masing bagi menyelamatkan diri.

Tentera Ukraine pula berkata, tentera Russia berhasrat menyekat Kyiv dengan mewujudkan koridor darat di pantai selatan menuju ke semenanjung Crimea dan wilayah Transdniestria Moldova.

Tentera Ukraine terpaksa bertempur dengan tentera Russia dari tiga penjuru, selepas Moscow melancarkan serangan melalui darat, laut dan udara.

Sementara itu, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 100,000 rakyat Ukraine melarikan diri dari rumah mereka dan ribuan yang lain menyelamatkan diri ke negara seberang terutamanya di Romania dan Moldova. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button