Berita Utama

Gagal bersama PH, Waytha Moorthy isytihar sokong BN

Presiden MAP dakwa Zahid sokong inisiatifnya untuk masyarakat India

BANGI, 29 Rabiulawal 1444H, Rabu – Parti Kemajuan Malaysia (MAP) menyatakan pendirian menyokong Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sokongan itu diumumkan Presidennya, P Waytha Moorthy menerusi sebuah video pendek berdurasi dua minit 55 saat di Facebook MAP, malam tadi.

“Apa yang penting bagi saya ialah menyokong seorang perdana menteri yang akan membantu saya dalam membina masyarakat kami dan memenuhi perjalanan hidup serta misi saya.

“Itulah kata sepakat yang telah saya usahakan bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau menyokong inisiatif dan rancangan saya untuk masyarakat India.

“Justeru, MAP dan saya akan menyokong Barisan Nasional di bawah pimpinan beliau,” katanya.

Difahamkan, sokongan parti itu kepada BN dibuat setelah MAP gagal membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi PRU15 pada awal bulan lalu.

Waytha yang pernah menjadi menteri perpaduan dalam kerajaan PH mendakwa, cubaannya untuk menjalin kerjasama dengan PH gagal.

“Presiden PKR (yang juga Pengerusi PH) Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mahu parti (berasaskan) India dalam PH,” kata Waytha.

Menerusi video sama, pengasas bersama Hindraf itu turut memaklumkan menerima banyak panggilan telefon termasuk daripada rakan-rakan dalam PH.

Dakwanya, ia susulan kunjungan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO ke kediamannya ketika sambutan perayaan Deepavali, baru-baru ini.

Waytha mendakwa, dia sudah menunggu cukup lama untuk mendapat maklum balas daripada PH berhubung permintaan menyertai gabungan berkenaan.

“Berdiam diri dari pakatan bukan pilihan bagi saya. Saya menganggap Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) tidak mahu sebarang kerjasama daripada saya. Saya menghormati keputusannya,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil memaklumkan, Majlis Presiden PH tidak tahu menahu mengenai kemungkinan kerjasama dengan MAP untuk PRU15.

“Kesian dia (Presiden MAP, P Waytha Moorthy), saya berada dalam Majlis Presiden hampir di setiap mesyuarat. Saya tak pernah dengar pun permohonan ini dihantar atau dibincangkan, jika dari MUDA dan PSM memang kita terima dan bincang.

“Tetapi Waytha Moorthy ini, saya tak pernah dengar (permohonan yang dibuat). Setahu saya bila bercakap dengan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perkara ini tidak pernah dibangkitkan dan disebut,” katanya.

MAP ditubuhkan secara rasmi pada 2019 semasa Waytha berkhidmat dalam kerajaan PH.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button