Berita Utama

Pengislaman anak Loh sah kerana dibuat oleh bapanya: BERJASA

Bubar sahaja SUHAKAM jika tak mampu jadi penjaga agama

BANGI, 23 Rejab 1443H, Jumaat – Tidak sewajarnya mana-mana pihak mempertikaikan keislaman ketiga-tiga anak Loh Siew Hong yang dilihat sah di bawah undang-undang negeri Perlis.

Setiausaha Wanita BERJASA, Ustazah Kaslawati Kassim mendakwa, di sebalik kronologi kisah anak-anak Loh, jelas ada agenda dari puak yang tidak bertanggungjawab untuk membenci Islam.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, beliau mendakwa, mereka begitu lantang membuat provokasi melampau, menipu, memfitnah dan menyelewengkan fakta serta kebenaran.

Dakwanya, pihak itu yang mencanangkan kononnya anak-anak tersebut diculik dan dipaksa memeluk agama Islam sedangkan fakta sebenarnya amat bercanggah dengan kenyataan mereka.

Lebih dikesalkan katanya, mereka dengan berani memberi usul untuk mencabar Enakmen Agama Islam Perlis yang membenarkan ibu atau bapa mengislamkan anak-anak di bawah umur.

“Dalam kes ini, mereka juga mula dan cuba mengeluarkan pandangan dan desakan supaya penukaran agama tiga anak ini dibatalkan.

“Walhal Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Perlis sejak 2006 meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis.

“Melalui pindaan ini perkataan ibu bapa berjaya ditukarkan kepada ibu atau bapa, iaitu membawa maksud membenarkan hanya seorang daripada ibu atau bapa mengislamkan anak mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menegaskan, pengislaman ketiga-tiga anak Loh sah kerana dibuat sendiri oleh bapa mereka.

“Oleh itu, apakah tujuan sebenar segala penipuan, tuduhan, fitnah, desakan dan kenyataan ini?

“Justeru, kita ambillah pengajaran dari apa yang berlaku,” katanya.

Selain itu, Ustazah Kaslawati meluahkan rasa hairan dengan tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang beria-ria mengulas mengenai persetujuan kedua-dua ibu bapa dalam menentukan agama anak.

“Bukankah pengislaman anak-anak Puan Loh ini sah?

“Mengapa pihak SUHAKAM turut sama mempertikaikan lagi keislaman anak-anak ini?

“Bukankah semua umat Islam perlu bersatu mempertahankan akidah anak-anak ini bukan mempertikai kesahihannya?” soalnya.

Oleh yang demikian, beliau menggesa rakyat menolak parti dan pemimpin membawa kepada ancaman terhadap agama dan negara terutama dalam pilihan raya nanti.

“Bagi pihak SUHAKAM ini pula, jika tidak mampu menjadi penjaga kepada agama malah menjadi lidah pembenci Islam adalah sangat wajar dibubarkan sahaja,” katanya.

Pautan terdahulu;

ISMA tekad bantu pihak berkuasa pastikan amalan Islam anak Loh kekal

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button