Berita Utama

PRN Johor: PN utamakan calon berekod bersih, muda

Perkemas kerjasama, organisasi antara parti-parti komponen

BANGI, 23 Rejab 1443H, Jumaat – Perikatan Nasional (PN) mengutamakan calon yang mempunyai rekod bersih, termasuk muda dan berwibawa untuk disenaraikan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, kriteria itu menjadi keutamaan buat PN selain berkelayakan dan berpengalaman.

Beliau berkata, calon yang ditampilkan PN majoriti masih mudah dan lingkungan usia 40-an.

“Calon kita kalau tengok majoriti ramai masih muda, 40-an majoriti. insya-Allah calon PN calon yang masih muda, kemudian calon yang berumur sikit dalam 60-an.

“Itu semua calon yang memang ada pengalaman dan mempunyai kelayakan yang baik dan semua bersih, itu yang paling utama yang kita cadangkan pada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut yakin dengan kerjasama antara parti-parti komponen PN pada pilihan raya kali ini.

“Insya Allah, apa yang telah dilalui semasa PRN Melaka banyak menjadi pengajaran. Insya-Allah di Johor antaranya dari sudut kerjasama organisasi, gerakan khususnya tiga parti ini, kita akan perkemaskan lagi dengan sebaik-baiknya.

“Alhamdulillah, semuanya berpusat dalam satu bilik gerakan bersama,” katanya lagi.

Nuridah turut optimis calon-calon daripada PN mempunyai keupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya diberi peluang nanti.

Malah, terhadap kesemua yang dicalonkan semula dan telah dipilih pada pilihan raya umum lalu, katanya.

“Mereka masih berupaya dan sebenarnya sebagai YB masih lagi belum tunjuk kebolehannya,” katanya.

PN mempertaruhkan semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor membabitkan 33 calon daripada Bersatu, PAS (15 kerusi) dan Gerakan (lapan).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button