Berita Utama

Semua rakyat Malaysia di Ukraine selamat

PM jamin lindung, segera pindah ke tempat selamat

BANGI, 23 Rejab 1443H, Jumaat – Semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine akan dipindahkan segera bagi mendapat perlindungan lebih selamat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 11 daripada 12 warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv masih berada di Ukraine dan kesemua mereka berada dalam selamat.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv kini berusaha memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat untuk rakyat Malaysia sebelum mereka dapat pulang ke Malaysia,” katanya menerusi ciapan di Twitternya, awal hari ini.

Beliau yang kini berada dalam lawatan rasmi ke Phnom Penh melahirkan dukacita dengan perkembangan yang berlaku di Ukraine.

Malah, katanya, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah memastikan Keluarga Malaysia di Ukraine berada dalam keadaan selamat.

Beliau pada masa sama, berharap agar satu jalan penyelesaian damai yang terbaik di antara Ukraine dan Rusia dapat segera dicapai, seterusnya berjaya menyelesaikan konflik tersebut.

Terbaharu, Presiden Volodymyr Zelenskyy berkata, 137 rakyat Ukraine terkorban selepas negaranya diserang besar-besaran oleh tentera Russia.

Serangan Rusia terhadap Ukraine terus berlangsung biarpun beberapa negara Barat mengecam hebat dan mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Moscow.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button