Berita Utama

Solat jemaah di masjid, surau P. Pinang masih guna SOP lama

Wajibkan semua jemaah perlu lengkapkan 2 dos vaksin

GEORGETOWN, 23 Rejab 1443H, Jumaat – Pulau Pinang tidak berhasrat meminda prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berhubung mewajibkan jemaah mengambil suntikan lengkap vaksinasi COVID-19 untuk menunaikan solat di masjid dan surau.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Pulau Pinang masih mengekalkan SOP seperti sebelum ini mewajibkan semua jemaah melengkapkan dua dos vaksin untuk bersolat di masjid atau surau.

“Setakat ini, kerajaan negeri masih belum mempertimbangkan perkara itu, kita masih mengikut SOP yang sebelum ini iaitu hanya mereka lengkap dua dos vaksin dibenarkan menunaikan solat di masjid atau surau.

“Setakat ini tiada perubahan SOP, namun mengikut kemas kini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini

Terdahulu, Selangor hanya membenarkan jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak hadir menunai solat Jumaat di masjid seluruh negeri itu bermula 25 Februari.

Arahan itu berdasarkan ketetapan terkini diedarkan secara dalaman oleh Jabatan Agama Islam Selangor kepada pengurusan masjid, surau dan musolla negeri tersebut.

Langkah berkenaan sejajar arahan mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di masjid, surau dan musolla di Selangor dalam usaha mengawal penularan COVID-19.

November tahun lalu, Pulau Pinang telah membenarkan semua aktiviti pengimarahan di masjid dan surau diadakan secara bersemuka, namun jemaah perlu melengkapkan dua dos vaksinasi.

Antara aktiviti pengimarahan yang dibenarkan merangkumi majlis rasmi dan aktiviti sosial seperti ceramah agama, kelas pengajian, mesyuarat jawatankuasa, majlis akad nikah, jamuan makan dan program gotong-royong.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button