Berita Utama

PRN Johor: Calon PN di Endau kesal dakwaan dirinya tarik diri tular

Yakin banyak lagi provokasi yang bakal diterima, namun tidak lemahkan semangat

BANGI, 24 Rejab 1443H, Sabtu – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib melahirkan rasa kesal dengan apabila tular khabar angin dirinya menarik diri di saat akhir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Namun, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, fitnah yang direka tersebut tidak melemahkan semangatnya sekali gus tidak menjejaskan aktiviti berkempen.

Malah, beliau yakin rakyat di kawasan berkenaan mampu menilai.

“Saya dimaklumkan oleh penyokong tentang kononnya saya tarik diri, menerusi mesej tular di WhatsApp.

“Saya yakin ini provokasi awal dan lebih banyak lagi akan mendatang,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Alwiyah dalam masa sama yakin mampu mempertahankan kerusi yang ditandingi dan mendakwa mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang.

“Dalam tempoh tiga tahun saya berkhidmat kepada penduduk dengan merencanakan segala program yang memanfaatkan mereka di bawah kerajaan PN dengan mengetengahkan dua isu iaitu soal integriti dan juga kebajikan masyarakat di Endau yang menjadi keutamaan saya.

“Rakyat tidak bergantung pada lambang parti, generasi muda juga sudah bijak menilai.

“Anak muda pun kini celik teknologi jadi saya yakin akan terima sokongan hebat untuk saya pertahankan kerusi Endau,” katanya.

Pada 12 Mei 2018, Alwiyah, bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) iaitu Rasman Ithnain (bekas ADUN Sedili) dan Rosleli Jahari yang juga bekas ADUN Johor Lama keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu.

Beliau bakal menerima tentangan daripada calon BN, Mohd Youzaimi Md Yusof yang merupakan bekas ketuanya, iaitu Ketua UMNO Bahagian Mersing yang menyimpan hasrat untuk merampas kembali kerusi tersebut.

Mohamad Fakrulradzi Mahmud (Pakatan Harapan) dan Mohd Noorhisyam Ibrahim (PEJUANG), selain Ismail Don (Bebas) pula muncul di saat akhir di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Endau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button