Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Wajib pemimpin Islam pertahan, jaga akidah anak-anak Loh

Golongan pelampau konon perjuang hak remaja walhal sebelum ini tak pernah bertanya khabar

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 24 Rejab 1443H, Sabtu – Pemimpin Islam terutama menteri agama wajib untuk mempertahankan agama anak-anak remaja Loh Siew Hong yang telah memeluk agama Islam.

Ketua Wanita gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Ustazah Dr Suriani Sudi berkata, mereka telah diislamkan secara sah mengikut undang-undang negeri Perlis.

“Walau dengan apa cara sekalipun kesemua mereka perlu dipertahankan kerana mereka telah menganut agama Islam dengan rela hati, diberi pendidikan akademik dan agama serta dijaga kebajikan mereka sewaktu berjauhan dengan ibu bapa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang berhasrat mengadakan perbincangan meja bulat berhubung kes penukaran agama sebelah pihak membabitkan tiga anak Loh Siew Hong.

Idris berkata, perbincangan akan disertai pakar undang-undang, pensyarah dan beberapa mufti, Rabu depan.

Dr Suriani menegaskan, perbincangan yang akan diadakan haruslah melihat kepada bagaimana cara agar akidah anak-anak ini dapat dipertahankan dan dipelihara dalam keadaan mereka disatukan dengan ibu kandung.

“Hakikatnya keislaman mereka akan menanamkan jati diri yang teguh, akhlak yang mulia serta kasih sayang dan hormat kepada ibu mereka seperti mana yang kita saksikan berlaku di kalangan pendakwah-pendakwah muallaf di negara kita,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau menggesa pemimpin Islam untuk cakna terhadap niat puak-puak pelampau yang tidak senang duduk melihat keislaman anak-anak ini, sedangkan ia tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada mereka.

Dr Suriani juga mempersoalkan sikap wakil-wakil rakyat bukan Islam yang kini terlalu lantang kononnya memperjuangkan hak remaja berkenaan untuk kembali kepada agama asal.

“Kenapa saat ini baru mereka ‘muncul’ sedangkan dalam tempoh mereka (anak-anak Loh) ditinggalkan tiada langsung golongan tersebut bertanya khabar.

“Tetapi kini mereka pula yang berlebihan kononnya mahu perjuangkan nasib dan masa depan anak-anak tersebut,” soalnya.

Beliau turut menyifatkan kesungguhan golongan berkenaan sebagai propaganda untuk memecah-belahkan keharmonian negara sekaligus cuba meraih undi.

“Mereka kononnya membuat perancangan mengembalikan semula anak-anak ini kepada ibunya, namun saya yakin mereka ada udang di sebalik batu.

“Keadaan ini menyebabkan pemimpin-pemimpin Islam tidak patut memandang enteng perbuatan pihak tertentu ini yang hakikatnya menjadi penghalang kepada keharmonian negara,” tegas beliau.

Malah, Dr Suriani melahirkan kebimbangan seandainya pengislaman tiga remaja ini berakhir seperti tragedi Natrah.

“Usah kita ulangi tragedi Natrah yang menyayat hati itu sebaliknya bertegaslah selagi mampu, bangkitlah kembalikan suara dan hak kita terutama kita di negara yang majoriti Islam,” katanya.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/02/25/perbincangan-libat-mufti-pakar-undang-undang-isu-anak-loh/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button