Berita Utama

Guna bahasa Melayu untuk setiap urusan rasmi negara: PM

Tak tolak kemungkinan bahasa Melayu jadi bahasa ASEAN

BANGI, 24 Rejab 1443H, Sabtu – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa akan menggunakan Bahasa Melayu.

Beliau yang kini berada di Bangkok, Thailand berkata, usaha tersebut dilakukan bagi memartabatkan semula bahasa tersebut sebagai Bahasa Kebangsaan.

Malah, beliau sendiri telah memulakan usaha itu apabila menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.

“Sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa dalam setiap urusan rasmi kerajaan, kita perlu menggunakan Bahasa Melayu.

“Rundingan saya di luar negara juga merupakan urusan rasmi kerajaan. Oleh sebab itu, saya menggunakan Bahasa Melayu.

“Sudah sampai masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan; kita bertanggungjawab memperkasa Bahasa Melayu.

“Jadi, kita tidak ada sebab untuk rasa janggal dan berbahasa Melayu ketika di luar negara kerana orang lain boleh bangga dengan bahasa masing-masing,” katanya pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke negara itu.

Malah, ketika mengadakan pertemuan dan mesyuarat terhad bersama Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha semalam, beliau telah menggunakan Bahasa Melayu.

Beliau menjelaskan, penduduk di ASEAN paling banyak menggunakan Bahasa Melayu dan tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti, boleh dijadikan sebagai Bahasa ASEAN.

“Perkara ini mungkin boleh dibincang dengan pemimpin ASEAN pada masa depan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, di ASEAN, enam negara menggunakan bahasa sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemah manakala empat lagi menggunakan Bahasa Inggeris.

“Jika negara itu menggunakan bahasa mereka, kita akan menggunakan Bahasa Melayu.

“Sekiranya negara itu menggunakan Bahasa Inggeris, kita menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa kita sendiri (Bahasa Melayu),” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button