Berita Utama

Pekerja bagi maklumat palsu status COVID-19 berisiko diberhentikan: MEF

Majikan berhak laporkan kes kepada pihak berkuasa

BANGI, 24 Rejab 1443H, Sabtu – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memberi amaran kepada semua pekerja mereka boleh dikenakan tindakan diberhentikan kerja sekiranya memberi maklumat palsu berhubung status jangkitan COVID-19.

Tindakan pekerja yang sengaja melaporkan dirinya positif COVID-19 dengan tujuan mahu bercuti adalah kesalahan besar kerana memperjudikan keselamatan dan kesihatan awam pekerja lain, kata Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

“Majikan perlu memaklumkan kepada semua pekerja bahawa sekiranya mereka memberi maklumat palsu, mereka boleh dikenakan tindakan disiplin dan majikan berhak untuk melaporkan kes tersebut kepada pihak berkuasa.

“Ia juga dikira menipu jika tiada jangkitan COVID-19 tetapi melaporkan sebaliknya hanya untuk mengelak daripada datang bekerja.

“Sudah tentu majikan boleh mengenakan tindakan disiplin sewajarnya kepada pelaku kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyatan, hari ini.

Syed Hussain dalam masa sama berkata, majikan juga disaran supaya menjalankan prosedur dalaman seperti ujian RTK yang mana dibuat di klinik atau tempat kerja dan ia dilakukan oleh mereka yang terlatih.

Selain itu, majikan juga boleh meminta pekerja merakamkan proses ujian yang dibuat dan rakaman tersebut perlu dihantar kepada pihak bahagian sumber manusia majikan sebagai rekod.

“Majikan boleh sediakan bilik yang sesuai untuk pekerja menjalankan ujian sambil disaksikan oleh saksi atau wakil daripada Jabatan Sumber Manusia syarikat.

“Kaedah-kaedah dinyatakan tersebut diyakini mampu mengurangkan salah guna dan penipuan yang mungkin timbul dari prosedur laporan ujian RTK yang baharu,” ujarnya.

Tegas beliau, pekerja juga disarankan sentiasa bersikap jujur dan bersama-sama membantu untuk memerangi pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button