Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

18 pemancing, kru bot karam di Langkawi ditemukan selamat

Mangsa diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan

ALOR SETAR, 25 Rejab 1443H, Ahad – Pemancing dan kru yang dilaporkan hilang di perairan Langkawi selepas bot dinaiki mereka disyaki karam petang semalam ditemukan dalam keadaan selamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata kesemua mangsa diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan.

“Alhamdulillah pada 11.45 malam tadi, kesemua 18 pemancing dan kru bot yang karam itu telah dapat diselamatkan oleh nelayan tempatan sekitar 3 petang di kira-kira 10 batu nautika barat Pulau Singa Besar.

“Kapal Maritim Tenggol dan juga Bot Penyelamat 5 yang juga berada di lokasi kejadian telah memindahkan atau mengambil semua 18 pemancing dan kru tersebut untuk dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi,” katanya dalam sidang.

Beliau berkata dua pemancing mengalami kecederaan iaitu seorang mungkin patah kaki manakala seorang lagi cedera sebelah di tangan kiri.

“Alhamdulillah, 16 lagi pemancing dan kru lain didapati sihat. Bagaimanapun, kita akan melakukan ujian kesihatan untuk mereka,” katanya sambil menasihati orang ramai yang ingin melakukan aktiviti di laut supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan memastikan kelengkapan keselamatan serta komunikasi mencukupi sebelum berbuat demikian.

Terdahulu, tekong utama Syed M Hidayat Syed Mohd Bakhir, 33, berkata bot itu sebenarnya membawa 13 pemancing dan dikendali oleh seorang tekong bersama empat kru.

Beliau bagaimanapun tidak turun ke laut dan telah digantikan dengan orang lain.

“Saya dapat berhubung dengan seorang kru selepas insiden itu dan dia memaklumkan mereka selamat selepas terapung selama enam jam di dalam laut apabila bot dinaiki karam pada 2 petang.

“Mereka kemudian diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang berada di kawasan itu dan kini dalam perjalanan ke Maritim Malaysia Langkawi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata bot itu keluar ke laut dari Langkawi pada Khamis dan sepatutnya pulang pada Sabtu.

Bagaimanapun, kru itu memaklumkan cuaca buruk telah menyebabkan ombak besar membadai bot tersebut menyebabkan ia hampir karam dan dimasuki air.

“Bot tersebut mempunyai satu unit telefon satelit yang boleh digunakan pada saat kecemasan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button