Berita Utama

Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan wajar dimartabatkan

Ia bukan langkah yang terkebelakang dan tidak beri masalah

KUALA LUMPUR, 25 Rejab 1443H, Ahad – Langkah berani yang diambil oleh kerajaan untuk menggunakan bahasa Melayu bagi setiap urusan rasmi kerajaan termasuk semasa lawatan kerja di luar negara, bukan langkah yang terkebelakang, sebaliknya usaha yang bersungguh-sungguh untuk memartabatkan semula bahasa Melayu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata pihaknya tidak melihat perkara itu sebagai suatu masalah kerana seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kecanggihan teknologi ketika ini tidak menghalang untuk bahasa diterjemahkan dalam tempoh yang singkat.

“Jika negara lain boleh melakukannya, mengapa kita perlu banyak alasan untuk melaksanakannya. Cuepacs berharap kerajaan bertegas dalam melaksanakan cadangan ini terutamanya melibatkan urusan rasmi di dalam negara sendiri.

“Penggunaan bahasa Melayu dalam apa jua urusan rasmi kerajaan di dalam negara wajar dilakukan terlebih dahulu sekiranya mahu ia dilaksanakan secara meluas di luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ini kerana ketika ini masih banyak agensi kerajaan yang menganjurkan majlis tetapi tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian dan perkara tersebut juga wajar diperluaskan di badan-badan berkanun Persekutuan dan negeri.

Semalam, Ismail Sabri dalam lawatannya ke Thailand berkata Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi termasuk pada mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button