Berita Utama

Sejuta rakyat disuntik vaksin COVID-19 bulan depan

Barisan hadapan jadi keutamaan, diikuti golongan rentan

KOTA TINGGI, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Kira-kira sejuta rakyat negara ini akan menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama, apabila diagih bermula bulan depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, barisan hadapan negara akan diutamakan terlebih dahulu bagi mendapat suntikan vaksin berkenaan.

Seterusnya, diikuti golongan rentan, yakni mereka yang mudah mendapat penyakit serta pesakit kronik termasuk buah pinggang, sakit jantung, paru-paru dan diabetes.

“Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 negara akan bermula bulan depan dengan sejuta vaksin dari Pfizer-BioTecNTech akan diagih dan disuntik bagi fasa pertama.

“Ia kemudian diikuti fasa seterusnya sebanyak 6.2 juta vaksin pada April dan Mei. Kerajaan akan beri vaksin secara percuma kepada semua rakyat untuk sasaran 80 peratus penduduk atau bersamaan 26 juta individu,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasssin pada Khamis memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan bekalan vaksin yang berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat di negara ini.

Beliau berkata, vaksin itu juga akan diberi secara percuma kepada rakyat melalui tiga fasa imunisasi dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 yang akan bermula bulan depan juga dijangka akan membantu negara untuk pulih seterusnya memutuskan rantaian wabak berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button