Dunia

Gempa Sumatera: 8 masih hilang, dikhuatiri tertimbus tanah runtuh

Ratusan kediaman rosak termasuk masjid, sekolah dan bank

JAKARTA, 25 Rejab 1443H, Ahad – Pasukan penyelamat Indonesia sedang mencari enam mangsa yang masih hilang selepas gempa bumi kuat menggegarkan Pulau Sumatera pada Jumaat, sehingga mengorbankan lapan orang dan mencederakan puluhan lain.

Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang melanda utara pulau dengan kedalaman 12 kilometer pada pagi Jumaat lalu turut menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Kejadian itu merosakkan ratusan kediaman dan bangunan termasuk masjid, sekolah serta bank yang memaksa penduduk berpindah ke tempat selamat di pusat perlindungan sementara.

“Pada masa ini, pencarian sedang dijalankan untuk enam orang yang kita ramalkan tertimbus oleh tanah runtuh,” kata jurucakap Badan Nasional Tindakan Bencana (BNPB), Abdul Muhari dalam satu kenyataan.

Sekurang-kurangnya 86 orang cedera dengan 10 daripadanya parah dalam gempa itu, menurut BNPB.

Lebih 6,000 telah dipindahkan di Pasaman Barat dan bandar Pasaman di Sumatera, di mana anggota penyelamat menggunakan peralatan berat untuk mencari mangsa terselamat di dalam runtuhan bangunan.

Agensi Meteorologi Indonesia BMKG memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi kawasan cerun kerana dibimbangi berlaku tanah runtuh pada kemuncak musim hujan.

Pihak berkuasa di Pasaman Barat telah mengisytiharkan darurat selama dua minggu sementara usaha mencari dan bantuan diteruskan.

“Orang ramai yang terjejas akibat gempa memerlukan segera kain terpal, khemah, makanan segera, air bersih dan bekalan keluarga,” kata Muhari. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button