Dunia

Israel sekat akses Masjid Ibrahimi langgar undang-undang antarabangsa

Rakyat Palestin dihalang masuk, solat sejak insiden bunuh 25 Februari 1994

RAMALLAH, 25 Rejab 1443H, Ahad – Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menyifatkan, tindakan Israel menghalang rakyat Palestin daripada mengakses Masjid Ibrahimi di bandar Hebron, Tebing Barat sebagai pelanggaran kepada undang-undang dan konvensyen antarabangsa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada ulang tahun ke-28 pembunuhan beramai-ramai di Masjid Ibrahimi, Jabatan Hak Asasi Manusia PLO mengisytiharkan sejak 25 Februari 1994, rakyat Palestin telah dihalang memasuki masjid, solat di dalamnya dan melaungkan azan.

Pada 25 Februari 1994, penjajah pelampau Israel, Baruch Goldstein melepaskan tembakan ke arah jemaah Palestin sehingga membunuh 29 daripada mereka dan mencederakan lebih 100 yang lain.

“Sejak itu, pihak berkuasa penjajahan Israel telah menganuti Masjid Ibrahimi dengan menghalang penduduk Palestin memasukinya ketika mereka meraikan ritual.

“Ini dianggap sebagai pelanggaran semua undang-undang dan konvensyen antarabangsa yang berkaitan dengan hak asasi manusia serta kebebasan beribadat,” kata PLO.

Pertubuhan itu berkata, terdapat keputusan dikeluarkan oleh badan antarabangsa yang memutuskan bahawa Masjid Ibrahimi adalah sebahagian daripada warisan manusia dan tempat suci eksklusif untuk umat Islam serta rakyat Palestin.

Sehubungan itu, PLO menggesa masyarakat antarabangsa untuk berpegang teguh dengan tanggungjawabnya dan memberikan perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin serta tempat suci mereka di bawah penjajahan Israel.

Selepas insiden pembunuhan beramai-ramai itu, Israel merampas separuh daripada masjid dan menyerahkannya kepada pendatang haram Yahudi selain menutup sebahagiannya lagi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button