Berita Utama

KPM buka bilik gerakan banjir

Lembaga Peperiksaan bertindak urus pusat peperiksaan SPM terjejas

BANGI, 25 Rejab 1443H, Ahad – Kementerian Pendidikan (KPM) membuka bilik gerakan susulan situasi banjir yang berlaku di Terengganu dan Kelantan ketika ini.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai situasi banjir di dua negeri berkenaan yang turut menjejaskan beberapa pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, Lembaga Peperiksaan juga sedang mengambil tindakan untuk menguruskan pusat peperiksaan yang terbabit di negeri berkenaan.

“KPM telah membuka bilik gerakan banjir dan Lembaga Peperiksaan juga sedang mengambil tindakan untuk menguruskan pusat peperiksaan yang terlibat.

“Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan anak-anak calon SPM 2021 dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setakat hari ini, jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan.

Di Terengganu, jumlah penduduk terjejas banjir meningkat kepada 4,335 orang daripada 1,287 keluarga pagi ini berbanding 3,334 orang daripada 931 keluarga malam tadi.

Terdapat 89 PPS beroperasi di lapan daerah di Terengganu iaitu 22 di Setiu, Kemaman (21), Besut (19), Hulu Terengganu (14), Kuala Nerus (lima), Dungun (lima), Kuala Terengganu (dua) dan Marang (satu).

Sementara di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,222 orang daripada 1,034 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 2,993 orang daripada 881 keluarga semalam.

Sebanyak 33 PPS dibuka membabitkan lima jajahan iaitu 10 di Pasir Mas, masing-masing sembilan di Kuala Krai dan Tanah Merah, empat di Jeli manakala satu di Pasir Puteh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button