Berita Utama

Minggu al-Quds Sedunia bantu tingkat kesedaran isu al-Quds, Palestin

Pembebasan Masjid al-Aqsa perlukan kepada usaha keilmuan, kesedaran

BANGI, 25 Rejab 1443H, Ahad – Sempena Minggu al-Quds Sedunia, umat Islam di negara ini digalakkan untuk memanfaatkan kegiatan dan acara yang dianjurkan oleh semua pihak sepanjang minggu ini, sama ada dianjurkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak lain.

Yang di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, pihaknya percaya penglibatan umat Islam di Malaysia dalam Minggu al-Quds Sedunia boleh membantu mereka mempertingkatkan kesedaran mengenai isu al-Quds dan Palestin.

Katanya, ia seterusnya membolehkan mereka lebih bersemangat untuk terlibat dalam usaha pembebasan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman pemerintah haram Zionis dan konco-konconya.

“PUM berpandangan, pembebasan Masjid al-Aqsa tidak hanya tertumpu kepada satu bentuk usaha tertentu.

“Ia memerlukan kepada pelbagai usaha yang saling sempurna dan menyempurnakan. Kerja pembebasan yang besar ini memerlukan kepada usaha keilmuan dan kesedaran, juga perlu kepada usaha solidariti dan kebersamaan.

“Ia juga perlu kepada usaha pengumpulan dana dan penyampaian bantuan, di samping ia juga mungkin sampai ke tahap gerakan yang lebih besar. Oleh itu, umat Islam di Malaysia hendaklah memilih bentuk usaha yang sesuai dengan diri masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Abdul Halim menyifatkan Minggu al-Quds Sedunia antara wadah terbaik untuk memugar kesedaran umat Islam terhadap isu al-Quds dan Palestin, serta menghidup dan memperkasakan usaha pembebasan Masjid al-Aqsa.

“Hal ini bersesuaian dengan pemilihan minggu terakhir bulan Rejab yang bersempena dengan peristiwa Israk dan Mikraj di samping peristiwa pembebasan Masjid al-Aqsa oleh Salahuddin al-Ayyubi,” katanya.

Untuk rekod, PUM terbabit dengan penganjuran Minggu al-Quds Sedunia sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1442H/2021M, di mana PUM antara pertubuhan ulama dunia yang terlibat sama dalam mencetuskan idea penganjurannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button