Berita Utama

SOP lengkap vaksin untuk solat Jumaat hanya terpakai di Selangor

Negeri lain masih tertakluk pada keputusan pihak berkuasa agama masing-masing

BANGI, 25 Rejab 1443H, Ahad – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan syarat menerima vaksin lengkap dua dos dan penggalak bagi membolehkan jemaah hadir untuk menunaikan solat Jumaat hanya terpakai kepada masjid serta surau di negeri Selangor.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah di masjid serta surau di lain-lain negeri masih seperti biasa dan ia tertakluk keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Katanya, Jakim merujuk SOP solat Jumaat yang ditetapkan kerajaan negeri Selangor melalui surat pekeliling Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertarikh 21 Februari 2022.

Beliau berkata, kerajaan Selangor telah menetapkan syarat menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak bagi membolehkan jemaah hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

“Sukacita ingin dimaklumkan bahawa syarat berkenaan ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri Selangor dan hanya terpakai kepada masjid dan surau di negeri berkenaan sahaja.

“Jakim menghormati ketetapan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri Selangor dan menasihat umat Islam mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan usaha menjaga dan memelihara maslahah dalam mengawal penularan wabak COVID-19 mencapai matlamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button