Berita UtamaDunia

Pesawat utama Ukraine musnah diserang Russia

Kos baik pulih 'Mriya' cecah AS$3 bilion, ambil masa 5 tahun

KYIV, 26 Rejab 1443H, Isnin – Pesawat kargo – Antonov-225 Ukraine – musnah akibat serangan rejim Russia di luar Kyiv pada hari keempat pencerobohan Moscow, dakwa kumpulan Ukroboronprom milik negara Ukraine pada Ahad.

Penceroboh Russia memusnahkan kapal terbang utama Ukraine, AN-225 di lapangan terbang Antonov di Gostomel dekat Kyiv, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Pesawat sepanjang 84 meter unik kepada dunia dan boleh mengangkut sehingga 250 tan kargo pada kelajuan sehingga 850 kilometer sejam.

Ia dinamakan sebagai ‘Mriya’ yang bermaksud mimpi dalam bahasa Ukraine.

Menurut Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleb, AN-225 ‘Mriya’ adalah pesawat terbesar di dunia.

“Russia mungkin telah memusnahkan ‘Mriya’ kami. Tetapi mereka tidak akan dapat memusnahkan impian kami untuk sebuah negara Eropah yang kuat, bebas dan demokratik. Kami akan menang!”, katanya menerusi ciapan di akaun Twitter, semalam.

Lapangan terbang Gostomel telah menyaksikan pertempuran ganas sejak permulaan pencerobohan Russia, yang dilancarkan oleh Presiden Vladimir Putin pada Khamis lepas.

Tentera Russia mendakwa cuba merampas infrastruktur strategik.

Pengeluar senjata Ukroboronprom menganggarkan bahawa kos membaik pulih Mriya akan menelan belanja lebih AS$3 bilion dan boleh mengambil masa lebih lima tahun.

“Misi kami adalah untuk memastikan bahawa perbelanjaan ini ditanggung oleh Russia, yang dengan sengaja menyebabkan kerosakan pada penerbangan Ukraine,” kata kumpulan itu.

Pesawat itu telah dikendalikan oleh Antonov Airlines Ukraine untuk penerbangan kargo dan mendapat permintaan tinggi ketika permulaan pandemik COVID-19. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button