Berita Utama

PRN Johor: Polis Johor luluskan 53 permit ceramah berkempen

Dua kertas siasatan dibuka dalam tempoh 2 hari berkempen

BANGI, 26 Rejab 1443H, Isnin – Polis Johor meluluskan 53 permit ceramah berkempen bagi membolehkan parti yang bertanding mengadakan ceramah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Jurucakap Media PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, kesemua parti serta kumpulan penyokong tidak harus menimbulkan sebarang provokasi sehingga menimbulkan pergaduhan sepanjang tempoh berkempen.

“Semua parti politik juga diingatkan mematuhi tempoh masa berkempen iaitu tidak melebihi dua jam serta perlu ditamatkan jam 10 malam.

“Turut diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP pencegahan COVID-19 dan peruntukan undang-undang ditetapkan.

“Sekiranya mempunyai sebarang masalah timbul, mana-mana pihak boleh merujuk polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ibrahim berkata, sepanjang dua hari berkempen, polis Johor telah membuka dua kertas siasatan berhubung kesalahan-kesalahan pilihan raya.

Selain salah guna media sosial bagi menyebarkan maklumat berunsur fitnah, satu lagi kertas siasatan membabitkan ketidakpatuhan SOP pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

Katanya, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana kesalahan salah guna media sosial untuk menyebar maklumat berunsur fitnah.

Manakala bagi kertas siasatan kedua pula, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button