Berita Utama

Semak semula kurikulum sekolah rendah tangani isu beg berat

Ganti penggunaan buku teks bercetak kepada digital

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 26 Rejab 1443H, Isnin – Isu beg sekolah berat bagi murid sekolah rendah seperti tiada berkesudahan dan menjadi polemik yang berulang saban tahun.

Justeru, sudah tiba masa untuk Kementerian Pendidikan (KPM) menyemak semula kurikulum sekolah rendah dengan mengurangkan bilangan mata pelajaran bagi menangani isu berkenaan.

Langkah itu juga dilihat penting supaya isu beg sekolah berat tidak lagi berlarutan sehingga menjejaskan kesihatan murid.

Pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, isu itu ternyata bukan permasalahan baharu tetapi berlanjutan sejak 1980-an lagi.

Namun, ia ‘timbul’ semula selepas mendapat perhatian ibu bapa apabila kesan membawa beg sekolah yang berat dibimbangi mengganggu struktur tulang belakang anak-anak.

“Buku teks sekolah rendah sepatutnya dibuat dalam format berjilid mengikut penggal persekolah bukannya tahunan.

“Ini semua akan memudahkan murid selain dapat membantu meringankan beban anak-anak ini. Selain itu tingkatkan juga penggunaan e-buku teks bagi sekolah rendah yang mempunyai akses internet.

“Bukan itu sahaja guru juga boleh menggunakan paparan LCD E-buku teks semasa PdP berjalan di dalam kelas untuk rujukan murid-murid,” katanya sebagai mengulas isu beg sekolah berat sehingga membebankan murid terutama di peringkat sekolah rendah.

Beliau berkata, KPM pada 2017 telah mengesahkan kebenaran tentang isu beg sekolah berat dalam kalangan murid-murid sekolah rendah.

Bagaimanapun, saranan KPM itu gagal dilaksanakan sepenuhnya sehingga menyebabkan kemelut beg sekolah berat masih berterusan sehingga kini.

Justeru, Dr Anuar berpandangan, pihak sekolah bersama ibu bapa boleh menyediakan rak atau tong plastik di sekolah untuk murid tahap satu menyimpan buku teks di dalam kelas atau di bilik penyimpanan.

“Semua murid tahun satu wajib ditempatkan di kelas aras bawah bangunan sekolah untuk elakkan kesukaran memanjat dan mengelakkan insiden mungkin terjatuh di tangga bangunan sekolah.

“Hadkan juga penggunaan buku modul, buku kerja dan buku latihan. Sebaliknya amalkan satu mata pelajaran satu buku latihan sahaja,” katanya.

Bagi solusi jangka masa panjang, beliau mencadangkan untuk memulakan kajian bagi memansuhkan penggunaan buku teks di sekolah rendah.

“Sebaliknya perkenalkan juga E-buku teks sepenuhnya secara online atau offline selari dengan dunia digital hari ini,” katanya.

Malah, guru-guru juga digalakkan untuk mengukuhkan pembelajaran sekolah rendah berteraskan aktiviti menarik dan menyeronokkan yang dirancang sepenuhnya oleh guru.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button