Kolumnis

‘Adakah nampak bodoh guna bahasa Melayu di luar negara?’

Beri kuasa besar pada DBP untuk perkasakan BM di semua peringkat

ADAKAH kita nampak bodoh menggunakan Bahasa Melayu di luar negara? Sedangkan pemimpin dunia lain begitu cerdik dan nampak cerdik menggunakan bahasa ibunda mereka di luar negara.

Saya menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri, mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan di luar negara, bagi  tujuan memperkasa bahasa kebangsaan.

Menurut PM, jika negara tuan rumah menggunakan bahasa Inggeris, maka Malaysia mempunyai pilihan untuk menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Untuk persidangan antarabangsa pun mulai sekarang, Malaysia akan gunakan bahasa Melayu. Tidak ada sebab kenapa kita rasa janggal berbahasa Melayu di luar negara.

Dalam lawatan kerja PM ke negara gajah putih baru-baru ini, pemimpin Thailand bercakap bahasa Siam dan ia diterjemahkan kepada bahasa Melayu. 

Sama juga jika kita cakap bahasa Inggeris, ia perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Siam. 

Jadi PM kita mengambil pendekatan menggunakan bahasa Melayu. Syabas!

Mengulas lanjut, PM berkata, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa Asean memadangkan majoriti negara Asean boleh berbahasa Melayu. Misalnya, Indonesia, Brunei, selatan Thailand, selatan Filipina, Melayu Kemboja semua boleh berbahasa Melayu.

Tahniah! Inilah pemimpin yang kita nantikan selama ini. 

Sepatutnya perkara ini telah lama dilakukan dan dikuatkuasakan oleh pemimpin terdahulu. Malangnya, semua mereka mahu menunjukkan lagak tersendiri. Biar nampak pandai.

Kononnya, jika tidak menggunakan bahasa Inggeris nampak bodoh. Mahu tidak mahu, kena guna bahasa Inggeris baru nampak ‘pandai’

Walhal pemimpin negara dunia yang lain, menggunakan bahasa ibunda mereka, tetap nampak pandai, malah dihormati. Bila lagi mahu menunjukkkan dan mengembangkan bahasa sendiri jika bukan di pentas dunia.

Siapa pandai dan siapa bodoh sebenarnya?

Perkara ini bukanlah asing, kebanyakan negara di dunia ini menggunakan bahasa mereka ketika berada di luar negara. Kenapa kita perlu terhegeh-hegeh menggunakan bahasa Inggeris? 

Saya tidak menafikan sama sekali kepentingan belajar dan memahami bahasa Inggeris (bahasa asing) kerana dituntut dalam Islam.

Tetapi jangan sampai kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.

Saya tidak dapat lupakan perdebatan antara Perdana Menteri Turki, Erdogen dengan presiden Israel, Shimon Perez Januari 2009, Davos, Swiss, ketika sepentas membahaskan Forum Ekonomi Dunia.

Kedua-dua pemimpin ini menggunakan bahasa ibunda, iaitu bahasa negara masing-masing.

Kita dapati ketika itu suasana menjadi tegang dalam perdebatan tersebut, kelam kabut, penterjemah menterjemahkan bahasa ibunda itu, agar segera difahami.

Paling menarik sekali melihat aksi walk-out dari Erdogan ketika perdebatan menjadi panas.

Disitulah izzah (kemuliaan) seorang muslim diperlihatkan oleh seorang Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan. Bukan sahaja bangga dengan identiti negaranya, malah begitu berani.

Dalam kata lain, bukan soal bahasa Inggeris itu yang menjadi isu sangat. Persoalan pokok, sejauh mana kita berjaya menjadikan diri kita penting.

Jika kita berjaya menjadikan diri kita itu penting, cakaplah bahasa apa sekalipun, termasuk bahasa Jawa, pasti akan menjadi perhatian.

Dalam keadaan serba canggih ini, apa yang tidak boleh diterjemahkan.  

Hairannya, kita begitu berlagak menggunakan bahasa Inggeris ketika urusan rasmi luar negara. Malah, kadangkala terpaksa memutarkan lidahnya supaya kedengaran sebiji sebutannya seperti orang putih. 

Amat memualkan apabila mendengar ada DJ radio berbahasa Inggeris di negara kita, terpaksa ditegur, oleh kerana mahukan dengungnya (accent) berbunyi Inggeris, sebutan ringgit menjadi ringit. Mangkuk hayun mereka ini.

Justeru, sudah sampai masanya, kita bermula daripada sekarang, meskipun sudah terlambat, untuk segera memperkasakan Bahasa Melayu, antara bahasa terbesar dunia ini.  

Bila lagi mahu mengembangkan bahasa yang pernah menjadi lingua franca ini. Bahasa Melayu adalah antara bahasa dunia yang paling banyak dipertuturkan.

Lihat sahaja negara jiran kita seperti Indonesia dan Thailand, begitu bangga dengan bahasanya. Rakyatnya tanpa mengira bangsa fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan mereka. 

Peliknya kita hari ini masih ramai rakyat Malaysia yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.  

Maka, sudah sampai masanya bahasa Melayu ini didaulatkan kerana ia bahasa negara.

Langkah pertama, jika mahu BM didaulatkan di luar negara pastikan ia didaulatkan dalam negara. Pastikan penyampaian, nama bangunan, iklan dan apa juga pengumuman dibuat dalam Bahasa Melayu. 

Kedua, perkasakan BM semua peringkat, terutama di sekolah vernakular dan sekolah antarabangsa. Jika tidak dapat dijadikan Bahasa pengantar, tambahan masa pembelajaran dan pengajaran BM mesti buat tanpa tolak ansur.

Setakat ini, arahan kerajaan untuk menambah Bahasa Melayu di SJKC ditentang habis-habisan oleh persatuan ultra kiasu Cina atas alasan ia akan menjejaskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Cina. 

Ultra kiasu ini jauh lebih mementingkan bahasa ibunda mereka daripada bahasa negara. Wajarkah mereka ini dilayan seperti warganegara ada tinggal di bumi bertuah ini? 

Sangat berbeza perwatakan Cina daripada Sekolah Kebangsaan dengan Cina SJKC. Cina Sekolah Kebangsaan, amat mudah mesra bergaul dengan Melayu berbanding Cina SJKC, jika tidak percaya, cuba buat kajian

Ketiga, jadikan kebolehan berbahasa Melayu sebagai syarat untuk menjadi warganegara Malaysia. Selagi rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik, mereka hanya wajar diiktiraf sebagai rakyat Malaysia

Mereka yang mahu menjadi penduduk tetap mesti dijadikan syarat bahasa.

Hari ini kecoh, ultra kiasu mahukan mereka yang berkahwin dengan orang luar negara, diterima kerakyatan secara otomatik? Persoalannya, kenapa syarat fasih bahasa Melayu tidak dikenakan?

Kerajaan Indonesia menyebut dengan jelas, pemohon yang mengajukan permohonan menjadi warganegara Indonesia harus sudah dapat berbahasa Indonesia secara pasif dan aktif. meskipun belum fasih. Kerana bahasa Indonesia adalah bahasa persatuan.

Keempat, bahasa Melayu mesti diperjuangkan dan diletakkan sebagai bahasa saintifik serta diguna pakai dalam sistem pendidikan, pentadbiran malahan dalam semua agenda negara. 

Bahasa Melayu ini bukan sahaja berperanan sebagai bahasa saintifik malah sebagai satu wahana buat masyarakat Malaysia bagi menyatupadukan pelbagai kaum dalam usaha mencapai perpaduan nasional seperti yang diharapkan dahulu. 

Paling penting, orang Melayu itu sendiri jangan mudah lupa diri, kamu sebagai penutur asli bahasa ini seharusnya berusaha untuk mengekalkan bahasa ibunda kita supaya tidak lapuk dek zaman dan terus menjadi bahasa yang dihormati oleh orang lain.

Amat memualkan apabila orang Melayu sendiri tidak yakin dan tidak berasa bangga dengan bahasanya sendiri.

Kelima, berikan kuasa yang besar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memperkasakan bahasa Melayu di semua peringkat. 

Syarat-syarat mesti dikenakan akan penggunaan bahasa Melayu dalam sebarang maklumat, iklan, nama bangunan, nama taman dan sebagainya. 

Semua media berasaskan kaum, media massa, media cetak, stesen radio dan tv berasaskan kaum, mesti menyediakan ruangan alih bahasa atau terjemahannya dalam bahasa Melayu. 

Percayalah, kita akan nampak lebih pandai jika menggunakan bahasa Melayu di luar negara, dan akan nampak bodoh bila terlalu mengagungkan bahasa penjajah ini.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button