Berita Utama

COVID-19: Kadar kebolehjangkitan menurun kepada 1.05

96 peratus individu sedang jalani kuarantin di rumah: Khairy

BANGI, 26 Rejab 1443H, Isnin – Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian menunjukkan penurunan apabila berada pada 1.05 pada Ahad.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam kenyataan di Twitter beliau yang turut memuat naik tangkap layar portal CovidNow.

“Rt harian kita telah turun secara berterusan iaitu kepada 1.05, namun terlalu awal untuk mengatakan kita telah melepasi gelombang Omicron,” katanya.

Selain itu, Khairy memaklumkan sebanyak 96 peratus individu sedang menjalani kuarantin di rumah, bahkan katanya, kapasiti di hospital juga terkawal.

“Justeru, jika ia menunjukkan trend berterusan, maka pembukaan sempadan secara menyeluruh dan langkah domestik yang lebih santai akan menyusul,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kes harian COVID-19 mencatatkan penurunan pada Ahad iaitu sebanyak 24,466 kes berbanding 27,299 kes pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus itu adalah sebanyak 3,421,802 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 24,361 atau 99.57 peratus berada pada kategori satu dan dua, manakala 105 kes atau 0.43 peratus kategori tiga hingga lima.

Daripada jumlah kes baharu itu juga, sebanyak 24,220 adalah kes tempatan, manakala 246 kes lagi kes import.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button