Berita Utama

Usul pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditangguh

Ahli dewan sebulat suara setuju dengan penangguhan

BANGI, 27 Rejab 1443H, Selasa – Usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said – yang dijadualkan hari ini -ditangguhkan ke mesyuarat kedua yang akan datang.

Penangguhan usul itu dikemukakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

“Saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Peraturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seperti Perkara 1 yang ada dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul ini di bawa ke mesyuarat kedua yang akan datang,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Usul itu kemudian dipersetujui secara sebulat suara oleh ahli dewan.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Azalina melepaskan jawatan itu, namun tetap menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara, sepanjang tempoh persidangan berlangsung.

Ketika persidangan pada 25 Oktober, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan ke persidangan akan datang.

Menurut Wan Junaidi, usul perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat yang lepas tetapi ditangguhkan bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button