Berita Utama

Misi evakuasi warga Malaysia di Ukraine berjaya

24 rakyat berdaftar dengan kedutaan berjaya dibawa keluar

SEPANG, 27 Rejab 1443H, Selasa – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meluangkan masa menyambut ketibaan rakyat Malaysia dibawa keluar dari Ukraine, menyifatkan misi evakuasi mereka di negara itu sebagai berjaya dan mencapai matlamat.

Beliau yang mengarahkan pelan evakuasi warga Malaysia di Ukraine itu diaktifkan berkata kesemua 24 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di negara itu telah berjaya dibawa keluar dalam misi evakuasi yang digerakkan bermula 24 Februari itu.

Menurutnya, kumpulan terakhir yang melibatkan sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan mereka telah dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine pada 26 Februari lepas dengan melalui jalan darat menuju ke Poland.

Hari ini, tujuh rakyat Malaysia yang dibawa keluar termasuk Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira 3.06 petang menerusi pesawat Qatar Airways penerbangan QR848.

“Kita bersyukur kerana walaupun kejadian agak membimbangkan di Ukraine tetapi kerajaan telah melakukan usaha yang terbaik untuk memastikan rakyat di Ukraine dalam keadaan selamat,” kata Ismail Sabri dalam sidang media selepas bertemu tujuh rakyat Malaysia berkenaan di KLIA.

Ismail Sabri berkata tujuh warga Malaysia yang tiba di tanah air hari ini terdiri daripada pegawai kedutaan Malaysia di Ukraine dan ahli keluarga masing-masing serta pelajar.

Menurutnya, empat rakyat Malaysia tidak pulang ke Malaysia tetapi memilih untuk berada di negara lain iaitu dua di Poland dan dua di Jerman.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada 24 Februari lepas mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine dan susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

Ukraine juga telah mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam kerana “berisiko tinggi” kepada penerbangan awam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button