Berita Utama

PRN Johor dicemari 2 kejadian bakar bendera

Tiada tangkapan dibuat tapi semua dingat kawal tingkah laku: Polis

BANGI, 27 Rejab 1443H, Selasa – Polis Johor mengesan dua kejadian bendera sebuah parti politik dibakar di dua lokasi berlainan di Layang-Layang, Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, insiden tersebut berlaku antara Jalan Puteri dengan Jalan Melati di Taman Layang-Layang dan di Jalan Kampung Paya.

Bagaimanapun, katanya, tiada suspek dikesan setakat ini, namun semua pihak terbabit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diingatkan supaya mengawal tingkah laku penyokong demi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan ketenteraman awam tidak tergugat.

“Pastikan penyokong mematuhi undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen PRN Johor.

“Perbuatan membakar bendera itu termasuk dalam kesalahan bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas pelaku yang didapati dengan sengaja tidak mematuhi undang-undang, menimbulkan kekacauan dan sebarang provokasi, mengikut undang-undang Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 24(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian berasingan, Hang Seng berkata, polis mengesan dua kes pemasangan kain rentang berhampiran kawasan sekolah, yang melanggar Seksyen 24b (7) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

“Kain rentang itu dipasang berdekatan kawasan Sekolah Agama Kampung Contoh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Lukut di Kahang.

“Pihak polis sudah mengenal pasti petugas parti yang terbabit, dan seterusnya menasihati berkaitan syarat serta prosedur operasi standard (SOP) bahawa pemasangan bendera atau kain rentang hendaklah dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, wakil parti politik telah membuka semula dua unit khemah yang dipasang pihak berkenaan di Jalan Ibrahim, Paloh.

“Wakil berkenaan menerima notis daripada Majlis Perbandaran Kluang (MPK) atas kesalahan mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran, iaitu meletakkan khemah tanpa kebenaran MPK dan menghalang laluan awam,” katanya.

Katanya lagi, sebarang permasalahan, aduan atau maklumat berkaitan isu pilihan raya boleh disalurkan di balai polis berdekatan atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melalui talian 07-7784222.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button